Saturday, May 4, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    56 terbunuh dalam serangan nekad

    PESHAWAR, 4 MAC – Sekurang-kurangnya 56 orang terbunuh dan 194 lagi mengalami kecederaan dalam serangan nekad di sebuah masjid Syiah hari ini di barat laut bandar Pakistan, Peshawar.

    Salah seorang saksi melihat seorang penyerang masuk ke masjid sebelum solat Jumaat dan ‘melepaskan tembakan dengan sepucuk pistol’, menyerang jemaah ‘seorang demi seorang’.

    Penyerang kemudian ‘meletupkan diri,’ kata Ali Asghar.

    Serangan berlaku sehari selepas perlawanan kriket di Rawalpindi – kira-kira 190 kilometer dari timur – antara Pakistan dan Australia, di mana perlawanan tidak diadakan di negara itu hampir suku abad disebabkan kebimbangan keselamatan.

    Muhammad Ali Saif, jurucakap bagi kerajaan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, memberitahu AFP ‘lebih 56 orang’ terbunuh dan 194 lagi tercedera dalam letupan berhampiran Kocha Risaldar, Peshawar.

    Kakitangan keselamatan memeriksa sekitar masjid selepas serangan nekad di Peshawar yang membunuh sekurang-kurangnya 56 orang, kelmarin. – AFP

    “Ia adalah serangan nekad,” katanya.

    Sementara itu, ketua polis Peshawar, Muhammad Ijaz Khan memberitahu AFP bahawa angka kematian mungkin lebih tinggi dan dua penyerang terlibat dalam serangan itu.

    Dia berkata dua pegawai polis ditembak di pintu masuk masjid.

    “Seorang pegawai polis terbunuh di tempat kejadian sementara seorang lagi dalam keadaan kritikal,” katanya.

    Muhammad Asim Khan, jurucakap untuk Hospital Lady Reading Peshawar berkata, “Kami mengesahkan kecemasan di hospital dan lebih banyak mangsa tercedera dibawa.”

    Jurucakap bagi Pejabat Perdana Menteri Imran Khan berkata beliau ‘mengecam sekerasnya’ serangan tersebut. Tiada kumpulan segara mengakui bertanggungjawab terhadap serangan nekad itu.

    Pakistan, yang majoritinya Sunni, kebelakangan ini bertempur dengan pemberontak Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP). – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Permintaan penyaman udara melonjak di Asia

    HONG KONG, 3 MEI - Gelombang haba melampau membelenggu sebahagian Asia, sekali gus membantu menjana permintaan yang meningkat terhadap pilihan penyejukan, termasuk penyaman udara. Unit...