Friday, May 17, 2024
28.7 C
Brunei

    -

    Projek INIKEA berjaya tingkat biodiversiti hutan Sabah

    KOTA KINABALU, 2 MEI – Projek Pemulihan Hutan Tropika Innoprise-IKEA (INIKEA) merupakan kejayaan besar dalam meningkatkan biodiversiti khususnya memulihkan hutan terosot yang dimusnahkan oleh kebakaran terutamanya di pantai timur Sabah.

    Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir berkata INIKEA telah dikenali sebagai satu daripada kawasan penanaman-pengayaan dan kawasan pemulihan hutan aktif terluas.

    “Kejayaan projek ini menjadi suatu panduan, menawarkan model yang boleh dicontohi dan dilaksanakan di kawasan lain diuruskan Kumpulan Yayasan Sabah, yang memberi faedah kepada kedua-dua tapak projek spesifik dan negeri,” katanya ketika berucap dalam Seminar Survei Sumber dan Hidupan Liar INIKEA 2023 di sini hari ini.

    Abidin berkata satu daripada inisiatif program penghutanan semula ialah memfokuskan pada memulihkan hutan terosot dengan menanam spesies pokok asli dan mempermudakan fungsi ekosistem serta meningkatkan biodiversiti.

    Beliau berkata INIKEA juga memainkan peranan penting dalam memastikan sumber air hulu bagi kawasan tadahan Sungai Kalabakan kekal berdaya tahan meskipun pelbagai cabaran susulan kemarau yang semakin kerap, sekali gus menjadikan tugas melindungi kawasan seperti itu semakin kritikal.

    Abidin berkata, Sabah juga berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif Heart of Borneo (HoB) iaitu usaha tiga hala melibatkan Malaysia, Indonesia dan Brunei untuk memulihara dan menguruskan hutan Borneo yang kaya biodiversiti secara lestari.

    INIKEA bermula pada Jun 1998 susulan Memorandum Perjanjian antara Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan Yayasan Sow-A-Seed untuk bekerjasama dalam projek pemulihan hutan tropika dengan kawasan projek awal seluas 14,300 hektar di Hutan Simpan Sungai Tiagau di barat Pusat Perhutanan Luasong, Tawau. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    12 terbunuh dipancar kilat di India

    NEW DELHI, 17 MEI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi mangsa cedera, kelmarin akibat dipanah petir di Bengal Barat, di timur India,...