Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    9 maut, ribuan cedera dalam gempa bumi 7.4 magnitud di Taiwan

    TAIPEI, 3 APRIL – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan lebih daripada 1,000 orang cedera akibat gempa bumi kuat di Taiwan, merosakkan puluhan bangunan dan mencetuskan amaran tsunami di Jepun dan Filipina sebelum dibatalkan, pada hari ini.
     
    Berpuluh-puluh orang dipercayai selamat tetapi tidak dapat dihubungi di kawasan yang terputus oleh runtuhan tanah besar dicetuskan gempa bumi yang mana kebanyakannya berada dalam terowong di pergunungan yang memisahkan pulau itu dari utara ke selatan.
     
    Pegawai berkata gempa tersebut adalah yang terkuat melanda pulau itu sejak beberapa dekad dan mengingatkan lebih banyak gegaran dijangka pada hari-hari akan datang.
     
    “Gempa bumi ini berlaku dekat dengan daratan dan cetek. Ia dirasai di seluruh Taiwan dan pulau-pulau luar,” kata Wu Chien-fu, Pengarah Pusat Seismologi Pentadbiran Cuaca Taipei.
     
    Wu berkata gempa bumi tersebut adalah yang terkuat sejak gempa bumi berukuran 7.6 pada September 1999, yang mengorbankan kira-kira 2,400 orang dalam bencana alam paling dahsyat dalam sejarah pulau itu.
     
    Bangunan yang hampir runtuh di Hualien, Taiwan setelah kawasan itu mengalami gempa bumi terkuat di seluruh kepulauan Taiwan, kelmarin. – AP
    Gempa bumi berukuran 7.4 pada hari ini berlaku sebelum pukul 8 pagi waktu tempatan, de-ngan Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata pusat gempa terletak pada 18 kilometer ke selatan Bandar Hualien, pada kedalaman 34.8 kilometer.
     
    Tiga daripada sembilan yang maut adalah sekumpulan pendaki gunung yang telah terbunuh akibat batu besar yang bergolek akibat gempa bumi, kata pegawai.
     
    Di tempat lain, seorang pemandu trak dan pemandu kereta maut apabila kenderaannya ditimbus manakala seorang lagi terbunuh di lombong kuari.
     
    Agensi Bomba Kebangsaan tidak menyatakan tiga lagi kematian tetapi berkata kesemuanya berlaku di daerah Hualien, dan menambah seramai 946 orang telah cedera dalam gempa itu.
     
    Pihak berkuasa mengatakan lebih daripada  50 orang berjaya diselamatkan setelah ditarik keluar dari runtuhan.
     
    Media menyiarkan bangunan bertingkat di sekitar Hualien menjadi condong setelah gempa berakhir, sementara sebuah gudang percetakan di Bandar New Taipei kelihatan roboh dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan.
     
    Presiden yang dilantik dan Naib Presiden semasa, Lai Ching-te menggesa usaha pencarian dan penyelamatan diteruskan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda