Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    AS, Brunei terus perkukuh kerjasama dua hala

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Negara Brunei Darussalam terus menjadi rakan kerjasama yang penting bagi Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Tenggara di mana hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, diplomatik, kebudayaan dan pertahanan.

    Pada masa yang sama, AS memuji peranan dan kepimpinan yang dimainkan oleh Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN pada 2021 di mana Brunei dengan rakan-rakan ASEAN yang lain telah menangani pelbagai isu yang rumit serta amat optimistik mengenai hubungan dua hala antara AS, Brunei dan ASEAN.

    Perkara itu dijelaskan oleh Kaunselor Jabatan Negara AS, Derek Chollet dalam taklimat media mengenai lawatan selama dua hari ke Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama pertahanan antara kedua-dua buah negara terus kukuh menerusi pelbagai latihan di antara pasukan pertahanan kedua-dua negara seperti Eksesais Pahlawan Warrior yang disertai oleh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan anggota tentera AS.

    Chollet berada di Brunei sebagai negara terakhir daripada tiga buah negara iaitu Thailand, Singapura dan Brunei, dalam rangka lawatan ke Asia Tenggara di mana ia menunjukkan komitmen AS kepada rantau ini serta usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan ASEAN di mana kedua-dua belah pihak terus bekerjasama bagi menangani pelbagai cabaran dan meneroka peluang-peluang bagi kepentingan bersama.

    Derek Chollet ketika menyampaikan taklimat kepada media di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Pada masa yang sama, jelasnya lagi, lawatannya itu adalah sebagai kesinambungan kepada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang menyaksikan pemimpin-pemimpin ASEAN mengadakan perbincangan dengan presiden AS di Washington pada Mei lalu.

    Mengulas mengenai perjumpaan dengan ahli-ahli perniagaan yang bekerjasama dengan perniagaan-perniagaan AS di Brunei, Chollet berkata AS melihat potensi yang amat besar bagi kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan serta amat optimistik mengenai peluang bagi meningkatkan lagi aktiviti perniagaan di antara kedua-dua buah negara.

    Ia juga merupakan salah satu penekanan yang diketengahkan dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang telah diumumkan oleh Presiden Joe Biden ketika lawatannya ke Jepun baru-baru ini dan di mana Negara Brunei Darussalam merupakan salah sebuah negara pengasas bersama dengan 13 buah negara lain termasuk AS.

    Beliau menerangkan bahawa negara-negara berkenaan terus berusaha untuk mengembangkan lagi rangka kerja itu khususnya untuk memberikan manfaat ekonomi bersama kepada semua negara di bawah IPEF.

    Di samping itu, Chollet juga berkata bahawa hubungan diplomatik di antara Brunei dan AS terus berkembang dengan positif dan kukuh di mana pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua negara sering mengadakan pertemuan dan perbincangan ke arah mengukuhkan dan mengembangkan kerjasama dua hala bukan sahaja dalam hal ehwal serantau tetapi juga antarabangsa.

    Semasa lawatan ringkasnya ke Brunei, Chollet juga berpeluang untuk bertemu dan berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin pertubuhan awam dan masyarakat di mana beliau berkata mereka berusaha untuk menangani dan berhadapan isu-isu yang serupa dengan di AS dan di seluruh negara.

    Beliau amat kagum dengan bakat dan ketekunan para pemimpin muda berkenaan yang bersemangat untuk menangani dan menegakkan isu-isu yang penting termasuk kesaksamaan dan mempertahankan kekayaan pelbagai budaya.

    Beliau juga menyatakan bahawa kekuatan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara bukan sahaja terletak dalam hubungan antara kerajaan kedua-dua buah negara tetapi lebih kepada hubungan antara rakyat dan penduduk Brunei dan AS serta berharap hubungan itu akan dapat dikembangkan dan diperkukuhkan pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...