Monday, September 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASB Labuan terima pelanggan antarabangsa pertama

    LABUAN, 22 SEPT – Syarikat berkaitan kerajaan Sabah, Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) yang berpangkalan di Labuan meraih pencapaian penting di peringkat antarabangsa apabila menerima pelanggan antarabangsa pertama, Prime Energy Resources Development BV dari Filipina.

    Bercakap kepada Bernama hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Japar Esteban berkata kontrak itu bertujuan mewujudkan pangkalan bekalan dan menyediakan perkhidmatan berkaitan bagi projek tenaga utama di Filipina.

    Kontrak itu yang dimeterai di Alabang, Muntinlupa, Filipina pada 19 September lepas menyaksikan ASB akan membantu kempen penggerudian Prime Energy bagi Projek Sinagtala, yang berperanan penting untuk memanjangkan hayat operasi medan gas Malampaya.

    Wakil kanan kedua-dua syarikat menghadiri majlis penandatanganan itu, yang menekankan kepentingan strategik kerjasama antarabangsa ini untuk masa depan tenaga Filipina.

    Medan Malampaya adalah satu-satunya kemudahan gas-kepada-tenaga perairan dalam di Filipina, yang menggalas tugas penting bagi keselamatan tenaga Filipina.

    Sehubungan itu, Japar berkongsi rasa bangga apabila turut terlibat dalam Projek Sinagtala, sambil memaklumkan langkah berkenaan akan mengukuhkan kedudukan ASB di pasaran antarabangsa.

    “Kami berbesar hati untuk menyokong Projek Sinagtala sebagai sebahagian daripada kontrak antarabangsa pertama kami. ASB komited untuk menawarkan perkhidmatan pangkalan bekalan diperlukan yang akan membantu memanjangkan hayat medan gas Malampaya selaku komponen utama infrastruktur tenaga Filipina,” katanya. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda