Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asia Pasifik perintis dalam pembangunan damai

    VIENTIANE, 10 JUN – Asia Pasifik merupakan perintis dalam mengekalkan pembangunan damai dan China menyokong penyelesaian damai sebagai cara merungkai perbezaan pendapat dan pertikaian, kata Naib Menteri Luar China, Sun Weidong.

    Perkara itu dinyatakan Sun yang mengetuai delegasi ke Laos untuk menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-China, Jepun dan Korea Selatan serta Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN dari 7 hingga 8 Jun.

    Menurut beliau, China menjunjung kepusatan ASEAN, menyokong pendekatan bercirikan ASEAN dalam menggerakkan kerjasama keselamatan serantau dan menyeru pembentukan konsep keselamatan yang sama rata dan kolaboratif.

    “Kami (China) berpegang teguh pada prinsip permuafakatan dengan mengambil kira tahap keselesaan semua pihak, memperkaya inisiatif kolaborasi serta aktif bertindak balas terhadap cabaran yang baharu muncul seperti keselamatan siber, perubahan iklim dan kecerdasan buatan,” kata beliau selepas mesyuarat berkenaan.

    Menurut diplomat itu, China menyokong kerangka keselamatan serantau berpusatkan ASEAN, terus mengamalkan konsep keterbukaan dan sama menang, menjaga permintaan dan tuntutan semua pihak serta menampung kepentingan semua pihak. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda