Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet wusyu raih pingat perak

    Oleh Fadhil Yunus dan Ak Zaki Kasharan

    Gambar serahan Urusetia

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Bintang wusyu Negara Brunei Darussalam, Basma Lachkar mencapai kecemerlangan baharu dalam sejarah sukan negara setelah memenangi pingat perak dalam acara Pusingan Akhir Taijijian dan Taijiquan Wanita pada Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 yang berlangsung di Pusat Sukan Xiaoshan Guali di Hangzhou, China, hari ini.

    Berkenaan berangkat bagi menyaksikan pertandingan dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC) selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Kejayaan individu Basma turut menjadi prestasi terbaik negara dalam Sukan Asia dengan memenangi pingat perak buat julung kalinya.

    Sebelum ini, atlet negara hanya memenangi empat pingat gangsa dalam sejarah penyertaan mereka dalam pertandingan sukan serantau itu.

    Basma mencatatkan 19.502 mata di belakang pemenang pingat emas China, Tong Xin yang memperoleh 19.696 mata.

    Prestasi cemerlang Basma mengalahkan beberapa atlet wusyu yang terkenal dalam sukan itu, termasuk juara dunia Hong Kong, Chen Suijin yang meraih pingat gangsa dengan mencatat 19.476 mata.

    Kejayaan itu semakin meningkatkan reputasi Basma dalam arena serantau dan global yang pernah memenangi pingat emas dalam Sukan Dunia, pingat perak dalam Sukan Universiti Dunia dan pingat perak dalam Sukan Asia Tenggara (SEA).

    Pingat gangsa Basma juga menamatkan penantian negara untuk meraih podium sejak atlet karate, Tong Kit Siong kali terakhir meraih pingatl gangsa dalam acara kumite bawah 75kg lelaki di Busan, Korea pada 2002.

    Terdahulu Duli Yang Teramat Mulia berkenaan berangkat ke Hangzhou, Republik Rakyat China bagi menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Asia ke-19, yang telah berlangsung semalam bertempat di Hangzhou Olympic Sports Center Stadium.

    Turut hadir adalah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Tuan yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir.

    Pada hari yang sama, Duli Yang Teramat Mulia juga telah berangkat ke Yiyuan Banquet Hall, Xizi Hotel, Hangzhou bagi menghadiri Majlis Santap Tengah hari yang dihoskan oleh Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping, dan isteri, Peng Liyuan.

    Kontinjen negara yang membawa bendera negara semasa majlis pembukaan rasmi tersebut ialah atlet wusyu negara, Awang Mohd Adi Salihin bin Roslan dan Dayang Basma Lachkar.

    Edisi Sukan Asia kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak tiga acara sukan yang dipertandingkan iaitu Angkat Berat, Karate dan Wusyu.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama pemenang pingat gangsa semasa acara berkenaan.
    Awang Mohd Adi Salihin bin Roslan dan Dayang Basma Lachkar semasa Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Asia ke-19.

    (Klik di sini untuk berita lanjut)

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda