Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia ikut jejak langkah Qatar ke-16 terbaik

    DOHA, 19 JAN – Pemain tengah, Jackson Irvine mengesahkan kemaraan Australia ke pusingan 16 terbaik saingan Piala Asia 2023 selepas menjaringkan gol kemenangan dalam kejayaan menewaskan Syria 1-0 pada perlawanan kedua Kumpulan B, hari ini.

    Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan pada babak kedua permainan di Stadium Jassim Bin Hammad itu sudah cukup untuk memberikan kemenangan kedua kepada skuad Socceroos kendalian Graham Arnold, yang kini mengumpul enam mata berbaki satu aksi kumpulan.

    Syria bimbingan Hector Raul lebih menguasai permainan terutama pada separuh masa pertama sebelum Australia memecah kebuntuan menerusi penyudah dari jarak dekat Irvine pada minit ke-59.

    Penyerang, Pablo Sabbag, sebelum itu terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Syria di hadapan apabila rembatannya, selepas menerima hantaran Ibrahim Hesar, hanya terkena tiang dan melantun ke dakapan penjaga gol, Maty Ryan.

    Ryan sekali lagi berdepan saat mencemaskan iaitu ketika permainan memasuki suku terakhir, apabila dia gagal menangkap kemas bola rembatan pemain pertahanan, Mouaiad Al Ajaan, yang jatuh ke atas garisan gol sebelum berjaya menampannya keluar, sekali gus memastikan kemenangan Australia. 

    Australia yang merupakan juara 2015 akan menutup kempen saingan Kumpulan B dengan bertemu Uzbekistan pada Selasa manakala Syria perlu menundukkan India untuk mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati pada hari yang sama.

    Sementara itu, Uzbekistan di bawah bimbingan Srecko Katanec menghidupkan peluang ke pusingan 16 terbaik selepas merakam kemenangan sulung dalam kempen kali ini dengan menumbangkan India 3-0 pada satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Ahmed Bin Ali.

    Ketiga-tiga gol Uzbekistan terhasil pada separuh masa pertama menerusi jaringan Abbosbek Fayzullayev, Igor Sergeyev dan Sherzod Nasrullayev yang membantu pasukan mengutip tiga mata pertama. – Bernama

    Yakoub (kiri) dan Irvine bersaing untuk mendapatkan bola semasa perlawanan bola sepak Kumpulan B Piala Asia AFC Qatar 2023 di Stadium Jassim bin Hamad di Doha pada 18 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda