Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangkai pesawat hilang disahkan di gunung berapi Filipina

    MANILA, FILIPINA, 21 FEB – Serpihan pesawat kecil yang membawa dua juruterbang Filipina dan dua penumpang warga Australia telah dikenal pasti hari ini di salah satu gunung berapi paling aktif di Filipina, kata pegawai-pegawai.

    Pencarian dari udara tidak menemui sebarang tanda mereka yang menaiki Cessna 340 itu, yang terhempas ke dalam parit di lereng gunung berapi Mayon di wilayah Albay, di mana ia hilang sejurus berlepas Sabtu lalu menuju Manila, kata pegawai-pegawai penerbangan.

    “Keadaan kru dan penumpang belum diketahui kerana lokasi sebenar masih belum dicapai oleh pasukan mencari dan menyelamat kerana cuaca buruk,” kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina. Ia berkata penyiasat melihat serpihan itu selepas tiga kali carian udara gagal pagi tadi akibat awan tebal.

    Hanya bahagian ekor pesawat yang masih utuh, kata Eric Apolonio, jurucakap agensi penerbangan awam.

    Warga Australia berkenaan bekerja sebagai perunding untuk Syarikat Pembangunan Tenaga, sebuah syarikat kuasa geoterma yang besar. Syarikat itu berkata ia telah mengerahkan pasukan yang disokong oleh helikopter dan dron untuk membantu dalam pencarian.

    Datuk Bandar Camalig, Carlos Baldo berkata empat pasukan kakitangan kerajaan dan sukarelawan, termasuk pendaki gunung dengan telefon satelit, mula mendaki gunung berapi setinggi 2,462 meter itu pagi tadi selepas cuaca cerah.

    Mereka sepatutnya dapat sampai ke lokasi nahas esok, katanya. – AP

    Gambar dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina menunjukkan penyelamat berdiri di sebelah helikopter ketika bersedia bagi pencarian penumpang pesawat Cessna 340 di bandar Camalig, wilayah Albay, tenggara Manila, Filipina, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda