Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barangan tiruan lebih RM1 juta dilupus

    KOTA KINABALU, 23 NOV – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menjalankan sebanyak 18 pelupusan barangan tiruan dengan nilai ekshibit RM1.045 juta bermula Januari hingga November lepas.

    Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM396,998.07 telah dijadikan sebagai hasil pendapatan kerajaan.

    “KPDN hari ini akan melupuskan barangan rampasan tiruan bernilai RM375,210.63 melibatkan 11 kes yang telah selesai dan didapati bersalah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya menerusi kenyataan media yang diedarkan pada majlis pelupusan barangan tiruan berkenaan di sini hari ini.

    Majlis pelupusan ekshibit perdana itu dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Negeri Sabah, Zulfamy Mat Udi.

    Georgie berkata barangan tiruan yang dilupuskan itu antaranya kemeja-T, kasut, selipar, jam tangan, minyak wangi, syampu, cakera padat (CD), pemacu pena, pelbagai beg berjenama dan pencukur.

    Beliau berkata sebanyak 70,335 pemeriksaan telah dijalankan di premis di seluruh Sabah sepanjang tahun ini dan daripada pemeriksaan itu, sebanyak 1,096 kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. – Bernama

    Zulfamy Mat Udi (tengah) menggunting baju jenama tiruan sebagai simbolik pelupusan Exhibit Perdana 2023 di Stor Exhibit KPDN Kolombong, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda