Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia martabat busana pengantin Puak Tutong

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG – Adat dan budaya menjadi lambang yang penting khususnya bagi sesebuah puak dan masyarakat yang pastinya memiliki nilai-nilai estetika tersendiri.

    Seorang belia dari Kampung Petani, Pekan Tutong, Awang Muhammad Syahir bin Raya tidak melepaskan peluang untuk memartabatkan pakaian tradisi Puak Tutong semasa majlis berbedak sebagai salah satu acara majlis perkahwinannya, baru-baru ini.

    Memakai pakaian tradisi berkenaan melakar kenangan terindah penuh nostalgik pada hari bersejarahnya.

    Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang merupakan salah seorang jemputan yang hadir pada majlis berbedak berkenaan, semasa ditemui Media Permata, mengungkapkan perasaan terharunya kerana adanya belia yang beliau rasakan julung kalinya berani tampil mempertahankan pakaian pengantin Puak Tutong tersebut.

    Sebelumnya hanya beberapa orang beliawanis yang pernah memperagakan pakaian tradisi sebegini pada majlis berbedak mereka, ujarnya.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz merakamkan detik kenangan dengan bergambar bersama Awang Muhammad Syahir selaku salah seorang belia asal Daerah Tutong yang tidak melepaskan peluang mempertahankan pakaian pengantin Puak Tutong semasa berlangsungnya majlis berbedak beliau, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN AJEES HAMDAN

    “Saya sendiri begitu berbangga menyaksikan pakaian tradisi ini diperagakan oleh anak kelahiran Daerah Tutong sendiri lebih-lebih lagi ia sebagai identiti yang tersendiri bagi Puak Tutong.

    “Kalau bukan kita selaku generasi pada masa ini, siapa lagi yang akan dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan budaya puak kita sendiri?” ucapnya yang juga merupakan Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong.

    Beliau menambah, belia-belia Puak Tutong kini sudah mula membuka mata mereka dan berusaha menghidupkan kembali adat resam dan budaya asal usul mereka seperti memperagakan pakaian pengantin Puak Tutong ini misalnya pada majlis bersejarah mereka dan tidak kurang hebatnya juga ketika berlangsungnya Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    “Walaupun tidak begitu drastik namun dari kelompok yang sedikit, dengan izin Allah SWT jua, saya yakin lama-kelamaan ia pasti akan berkembang dan tidak mustahil boleh menjadi trend dan pakaian utama semasa persandingan sebagaimana pakaian pengantin Puak Melayu Brunei,” ujarnya penuh harapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda