Sunday, January 12, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bellingham inspirasi kemenangan Madrid

    BARCELONA, 8 DIS – Jude Bellingham memimpin juara Real Madrid meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Girona semalam dalam aksi La Liga, dengan Kylian Mbappe turut mencetak nama selaku penjaring selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan baru-baru ini.

    Los Blancos berjaya merapatkan jurang kepada dua mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, yang terikat 2-2 menentang Real Betis, dengan Madrid masih mempunyai kelebihan satu perlawanan.

    Bellingham membuka jaringan sebelum waktu rehat dan memberikan assist kepada pemain tengah Turkiye, Arda Guler untuk gol kedua Madrid, sebelum Mbappe menyempurnakan jaringan ketiga dengan penyudah klinikal.

    Dua pemain Madrid iaitu Bellingham dan pemain pertahanan Ferland Mendy digantikan selepas mengalami kecederaan ringan pada babak kedua menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Atalanta pada Selasa.

    Jurulatih Carlo Ancelotti mengesahkan bahawa Bellingham ‘dapat diturunkan’ untuk perlawanan tersebut, tetapi menyatakan Mendy mengalami kecederaan otot.

    Aksi Jude Bellingham cuba merampas bola daripada pemain lawan semasa perlawanan bola sepak liga Sepanyol antara Girona dan Real Madrid di Stadium Montilivi, Girona, pada 7 Disember. – AFP

    Selepas kekalahan kelima Real Madrid dalam semua pertandingan pada pertengahan minggu lalu kepada Athletic Bilbao, selepas hanya tewas dua kali sepanjang musim lepas, Carlo Ancelotti berjanji pasukannya akan memperbaiki prestasi, dan mereka tampil jauh lebih baik ketika menentang Girona.

    “Bellingham menjaringkan gol kelima berturut-turutnya (dalam La Liga), Mbappe menjaringkan gol, Brahim (Diaz) bermain dengan baik, Arda menjaringkan gol hebat,” kata Ancelotti.

    “Kami perlu bertahan dalam situasi ini, dan seperti yang saya katakan, perlahan-lahan kami akan kembali kepada prestasi terbaik.”

    Dengan ketiadaan Vinicius Junior dan Rodrygo, Ancelotti memilih untuk menurunkan Bellingham dan Diaz untuk menyokong Mbappe di barisan serangan.

    Penyerang itu menjadi sasaran kritikan sejak beberapa minggu kebelakangan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Liverpool dan Athletic Bilbao, serta bergelut untuk mendapatkan semula prestasi cemerlang yang menjadikannya bintang di Paris Saint-Germain dan skuad negaranya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda