ISKANDAR PUTERI, 4 DIS – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berpuas hati dengan keputusan seri pertembungan pasukan itu dengan kelab gergasi Thailand Buriram United dalam Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, semalam.
Beliau berkata meskipun JDT gagal memenangi perlawanan dan mengumpul tiga mata, jurulatih berasal dari Argentina itu tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan keenam mereka dalam liga tersebut.
“Pemain JDT menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi ketika menyerang dan bertahan. Walaupun Buriram United mengasak bertubi-tubi dan menguasai bola sepanjang perlawanan, kami berjaya mengawal permainan dengan baik.
“Misi kami pada baki perlawanan akan datang ialah mengelak kekalahan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan yang menyaksikan keputusan seri 0-0, di Iskandar Puteri malam tadi.
Pemain pertahanan JDT, Eddy Israfilov berkata mereka telah bermain sebaik mungkin walaupun kekurangan seorang pemain selepas Murilo Santos dilayangkan kad merah pada minit ke-10 kerana melakukan ‘foul’ ke atas Dion Cools di luar kota penalti. – Bernama