Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    CR7 ledak gol ke-500, bantu pasukan menang

    RIYADH, 10 FEB – Cristiano Ronaldo menjaringkan kesemua gol Al Nassr dalam kemenangan 4-0 ke atas Al Wehda di liga Saudi kelmarin, sekali gus melepasi jumlah 500 jaringan liga dalam karier kelabnya.

    Bintang Portugal berusia 38 tahun itu kini mencatat 503 gol yang dijaringkannya untuk lima buah pasukan berbeza di lima buah liga.

    Dia menjaringkan tiga gol untuk Sporting Lisbon semasa awal karier, 103 untuk Manchester United dalam dua penggal, 311 untuk Real Madrid dan 81 di Juventus.

    Ronaldo kini merekodkan lima jaringan untuk Al Nassr yang disertainya selepas Piala Dunia berikutan perpindahan mengejut dari Manchester United.

    Kelmarin, dia mencetak jaringan ke-500 pada minit ke-21 dengan rembatan kaki kiri.

    Aksi Cristiano Ronaldo ketika menjaringkan gol ketiga pasukannya menerusi sepakan penalti semasa perlawanan bola sepak Liga Pro Saudi di Stadium King Abdulaziz di Mekah. – AFP

    Dia menjadikan kedudukan 2-0 dengan kaki kanannya sebelum rehat sebelum hatriknya tiba menerusi sepakan penalti lapan minit separuh masa kedua. Ia adalah hatrik ke-61 dalam kerjayanya.

    Dia menambah gol keempat sejurus sejam perlawanan berlalu apabila dia pemain pertama mengutip bola yang melantun.

    Ronaldo telah membuka rekod jaringan untuk skuad baharunya Jumaat lalu dengan penalti pada masa kecederaan ketika seri 2-2 di tempat lawan menentang Al Fateh.

    Pemenang Ballon d’Or lima kali itu, yang memegang rekod sepanjang masa untuk Liga Juara-Juara dan gol antarabangsa, menerima lebih 400 juta euro untuk perpindahan mengejutnya ke Saudi, menurut sumber yang rapat dengan Al Nassr.

    Jumlah itu termasuk 200 juta euro untuk mempromosikan tawaran bersama Arab Saudi yang dijangka menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030, kata sumber kepada AFP.

    Ronaldo telah menjadi pemacu utama bagi desakan kerajaan konservatif itu untuk me
    ningkatkan reputasinya melalui sukan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda