KIGALI, 27 NOV – Kementerian Kesihatan Rwanda hari ini mengumumkan kempen penanaman dua juta pokok di dalam dan sekitar kemudahan kesihatan di negara itu.
Menteri Kesihatan Sabin Nsanzimana berkata inisiatif dikenali ‘hospital hijau’ itu bertujuan untuk mengubah kemudahan kesihatan menjadi ruang hijau untuk perlindungan alam sekitar dan meningkatkan tahap kesihatan.
Beliau berkata pokok akan ditanam di sekitar 56 buah hospital, 514 buah pusat kesihatan dan 1, 252 pos kesihatan di seluruh negara, lapor Xinhua.
“Kira-kira 20,000 batang pokok sudah ditanam di seluruh negara setakat ini dan perjalanan kami masih jauh untuk memenuhi sasaran mencapai dua juta batang pokok,” katanya di platform X.
Langkah terbaharu itu juga sejajar dengan usaha kerajaan Rwanda untuk menangani perubahan iklim. Rwanda komited untuk menanam 63 juta batang pokok menjelang akhir 2023, menurut Kementerian Alam Sekitar.
Hasil tindakan yang bermatlamat melindungi hutan sedia ada dan penghutanan semula, lebih 30 peratus kawasan di Rwanda diliputi oleh hutan atau bersamaan 724, 695 hektar, menurut data kementerian. – Bernama