Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Dua lelaki tempatan telah berjaya ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi bersiri di beberapa buah masjid di negara ini.
Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang dikeluarkan di sini hari ini, kedua-dua suspek berumur 36 dan 51 tahun.
Tangkapan kedua-dua suspek adalah hasil kerjasama antara keanggotaan detektif Daerah Polis Belait dan Tutong, PPDB.
Kejadian tersebut terbongkar hasil daripada siasatan dan pengesanan yang dijalankan
menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Masjid Kampung Labi, Daerah
Belait yang baru sahaja dilaporkan pada 6 Mac lalu.
Menurut petugas masjid berkenaan, semasa kejadian berlaku beberapa barangan didapati telah hilang dan dipercayai dicuri seperti pembersih hampagas, alat penapis air minuman, alat pengesan suhu badan serta beberapa barangan lagi dan telah berjaya ditemui kembali hasil daripada siasatan pihak polis.
Selain itu, kedua-dua suspek juga dipercayai terlibat dengan aduan laporan
kecurian barangan masjid yang berlaku di beberapa buah masjid di Daerah Tutong.
Kedua-dua suspek akan berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 380 (A)
Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang membawa kepada hukuman penjara serta
sebat.
Pihak PPDB juga memohon dan meminta kerjasama orang ramai terutama masyarakat setempat untuksentiasa membantu pihak polis ataupun mana-mana agensi keselamatan di negara ini dengan mengongsikan sebarang maklumat penting berkaitan pelanggaran undang-undang agar dapat dibendung serta dibanteras dengan sebaiknya bagi memastikan negara sentiasa dalam keadaan aman, makmur lagi sejahtera.
