Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Brunei 2023 dijangka baik

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global bagi 2023 pada kadar 2.8 peratus iaitu lebih rendah daripada 3.4 peratus yang dicatat pada 2022, sebelum meningkat kepada 3 peratus pada 2024.

    Prospek pertumbuhan ekonomi global akan tertakluk kepada risiko kemelesetan ekonomi mengambil kira keadaan kewangan global lebih ketat, peningkatan risiko kepada kestabilan sektor kewangan, kadar inflasi masih tinggi serta kesan negatif daripada ketegangan geopolitik dan perpecahan geoekonomi.

    Sementara itu, ekonomi domestik mencatatkan penurunan sebanyak 1.6 peratus pada 2022, disebabkan penguncupan sektor minyak dan gas.

    Manakala, sektor bukan minyak dan gas meningkat 3.1 peratus tahun-ke-tahun dengan kenaikan tertinggi dalam sektor perkhidmatan sebanyak 2.3 peratus dan sektor industri bukan minyak dan gas sebanyak 1.5 peratus. Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan pula telah menguncup sebanyak 3.3 peratus. Memandang ke hadapan, ekonomi Brunei dijangka akan bertambah baik pada 2023, didukung oleh projek-projek pelaburan langsung asing yang sedang dijalankan.

    Walau bagaimanapun, masih terdapat risiko penurunan dengan jangkaan permintaan global yang lebih perlahan, tahap pengeluaran minyak mentah dan gas asli cecair yang lebih rendah serta ketidakpastian dalam pasaran minyak.

    Gambar Freepik

    Dapatan itu adalah daripada Kenyataan Dasar BDCB pertama bagi 2023 yang dikongsi oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), di sini, hari ini.

    Dalam kenyataan itu lagi, BDCB menyatakan bahawa selaras dengan bank-bank pusat global yang terus mengawal kadar inflasi yang masih tinggi, Monetary Authority of Singapore dalam kenyataan dasar monetari pada April 2023, telah mengekalkan tahap dasar monetarinya memandangkan kesan daripada pengetatan dasar monetari terdahulu masih mempunyai impak terhadap ekonomi.

    Mengambil kira faktor berkenaan serta data indeks harga pengguna terkini, BDCB mengunjurkan kadar inflasi Brunei bagi 2023 dalam lingkungan 1 hingga 2 peratus.

    Pada suku pertama 2023, sektor kewangan Brunei telah merekodkan penurunan seba-nyak 0.3 peratus tahun-ke-tahun dengan nilai aset keseluruhan sebanyak $23.9 bilion di mana $14.1 bilion atau 59.1 peratus merupakan aset kewangan Islam.

    Institusi-institusi penerima deposit pula menyumbang sebanyak 91.9 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sektor kewangan dengan nilai aset berjumlah $21.9 bilion.

    Kedudukan modal industri perbankan kekal berdaya tahan dan stabil dengan agregat Nisbah Kecukupan Modal sebanyak 21.3 peratus pada suku pertama 2023.

    Selain itu, pulangan keuntungan dari industri perbankan juga turut meningkat, didorong oleh persekitaran kadar faedah atau keuntungan yang meningkat.

    Sementara itu, dalam bidang pasaran modal, BDCB telah mengeluarkan pindaan terhadap Notice on Licensing Examination dan Guideline on Conducting the Regulated Activity of Giving or Offering Investment Advice dengan tujuan untuk memberi penjelasan mengenai keperluan pengendalian perniagaan pelaburan Islam.

    BDCB juga telah memperkenalkan peruntukan yang memerlukan pengawalseliaan aset masa melalui pindaan terhadap Notice on Requirement for Payment Systems dan pengeluaran Guidelines on Offering and Trading of Security Tokens bagi memenuhi keperluan Financial Action Task Force (FATF) Recommendation 15 yang ditetapkan oleh Asia/Pacific Group (APG) Mutual Evaluation.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda