Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam pegawai ABDB terima anugerah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence diwujudkan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pegawai-pegawai daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), peluang untuk mendalami persefahaman dan membina rangkaian antara Negara Brunei Darussalam dan Australia serta angkatan tentera masing-masing.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold dalam ucapannya semasa Penyampaian anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB (AP ABDB), hari ini.

    Enam orang pegawai dari ABDB telah menerima anugerah berkenaan daripada kerajaan Australia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam Kursus Maktab Turus ABDB ke-13.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan pemangku-pemangku pemerintah angkatan tentera, Pemangku Pemerintah Markas Angkatan Bersama ABDB, kakitangan dari Suruhanjaya Tinggi Australia, pengarah-pengarah tentera dan awam serta pegawai-pegawai AP ABDB.

    TYT Luke Arnold dalam ucapannya lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua penerima anugerah atas keputusan yang cemerlang setelah menamatkan Kursus Maktab Turus dan menekankan bahawa pendidikan ketenteraan dan pertukaran adalah asas kepada kefahaman persekitaran strategik yang diperlukan untuk berkongsi pengalaman dan pandangan dalam pergolakan dunia yang semakin kompleks termasuk di rantau Indo-Pasifik ini.

    Kolonel Pengiran Sharifuddin menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN ABDB
    TYT Luke Arnold Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi dan Kolonel Pengiran Sharifuddin serta antara jemputan yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN ABDB
    TYT Luke Arnold menyampaikan anugerah kepada salah seorang pegawai yang diraikan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN ABDB

    Beliau juga menghargai jemputan yang berterusan daripada ABDB kepada pegawai-pegawai Australia untuk menghadiri Kursus Maktab Turus di Negara Brunei Darussalam dan mengharap bagi menawarkan kepada pegawai-pegawai ABDB untuk menghadiri kursus-kursus di Maktab Pertahanan Australia pada masa akan datang.

    Terdahulu, Komandan AP ABDB, Kolonel Pengiran Sharifuddin bin Pengiran Haji Yusof dalam ucapan alu-aluannya menyampaikan ucapan tahniah kepada para penerima anugerah yang mencapai keputusan akademik yang cemerlang dan pencapaian kepimpinan di sepanjang Kursus Maktab Turus dijalankan.

    Bagi pihak ABDB, beliau juga menyatakan ucapan penghargaan kepada kerajaan Australia atas peranan mereka dalam menjayakan inisiatif itu dan menekankan kepentingan anugerah tersebut dalam meningkatkan tahap kecemerlangan secara signifikan di dalam maktab tersebut.

    Beliau juga menyatakan kepentingan hubungan pertahanan yang erat antara Brunei Darussalam dan Australia serta menekankan kemajuan program ini dalam memperkukuhkan kerjasama ketenteraan dan pertumbuhan bersama.

    Beliau turut menekankan nilai-nilai dan visi bersama yang mengikat kedua-dua negara dan melihat anugerah tersebut sebagai simbol kerjasama yang berkekalan, menjadi mercu kejayaan untuk kolaboratif masa depan dalam keselamatan dan pertahanan serantau.

    Majlis diteruskan dengan TYT Luke Arnold menyempurnakan penyampaian anugerah kepada enam orang pegawai penerima anugerah iaitu 859 Leftenan Komander Mohd Hydzir Zuhdi bin Haji Sulaiman dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), 881 Mejar Mohammad Sufrien bin Johan dari TDDB, 889 Leftenan Komander Dayangku Lyadia Ulandari binti Pengiran Haji Muhamad dari TLDB, 892 Leftenan Komander Hidayatul Zabidah binti Haji Dayang dari TLDB, 907 Mejar Siti Nur Irmaya binti Yahya dari Kementerian Pertahanan dan 925 Mejar Abd Rahim bin Haji Adris dari TDDB.

    Anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence merupakan Program Kecemerlangan Akademik daripada kerajaan Australia yang dianugerahkan kepada peserta-peserta Kursus Maktab Turus yang telah mencapai keputusan yang cemerlang semasa menjalankan kursus berkenaan.

    Pegawai-pegawai berkenaan akan dijemput ke Australia dan berkesempatan bersemuka dengan ketua-ketua pertahanan Australia, melawat beberapa buah pangkalan tentera Australia yang terpilih, mengikuti aktiviti-aktiviti pendidikan dan kebudayaan serta melibatkan diri dalam sesi dialog dan perbincangan.

    Penerima-penerima anugerah pada tahun ini akan berlepas ke Australia pada 2 hingga 9 Disember.

    Program itu bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada pegawai-pegawai mengenai Australia khususnya mengenai Angkatan Tentera Australia serta memberikan peluang bagi menerokai persamaan dan perbezaan mengenai kepentingan dan keselamatan serantau dan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua buah angkatan tentera serta meningkatkan lagi hubungan pertahanan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Australia.

    Majlis penyampaian anugerah berkenaan merupakan kali keenam diadakan sejak ia pertama kali diadakan pada 2018.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda