Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU desak Israel terima penyelesaian dua negara

    BRUSSELS, 22 JAN – Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU) hari ini menegaskan penyelesaian dua negara ketika beliau memberitahu Israel bahawa ia tidak boleh membina keamanan ‘hanya melalui cara ketenteraan’ menjelang rundingan dengan diplomat tertinggi Israel dan Palestin.

    Josep Borrell mengulangi kecaman oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap penolakan ‘yang tidak dapat diterima’ oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, terhadap seruan untuk negara Palestin selepas perang di Gaza.

    “Apa yang kita mahu lakukan ialah membina penyelesaian dua negara. Jadi mari kita bercakap mengenainya,” kata Borrell.

    Beliau memberitahu Israel bahawa ‘keamanan dan kestabilan tidak boleh dibina hanya melalui cara ketenteraan’. “Apakah penyelesaian lain yang mereka fikirkan? Untuk membuat semua rakyat Palestin berpindah? Untuk membunuh mereka?” kata Borrell.

    Serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel dan tindak balas ketenteraan yang dahsyat berikutnya dari Israel telah menjerumuskan Timur Tengah ke dalam kekacauan baharu dan mencetuskan kebimbangan konflik yang lebih luas.

    Tetapi ketika pertumpahan darah itu nampaknya telah menjauhkan penyelesaian jangka panjang, pegawai EU menegaskan bahawa sekarang adalah masanya untuk bercakap mengenai penyelesaian akhir bagi konflik Israel-Palestin.

    Kesemua 27 menteri EU akan terlebih dahulu bertemu dengan menteri luar Israel, Israel Katz, sebelum duduk secara berasingan dengan diplomat tertinggi Pihak Berkuasa Palestin, Riyad al-Maliki. – AFP

    Katz (kanan) tiba untuk mesyuarat menteri luar EU di bangunan Majlis Eropah di Brussels, kelmarin. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda