Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Giroud sertai LA FC

    PERTH, 29 MEI – Kapten AC Milan, Davide Calabria, hari ini menyatakan pemergian Olivier Giroud ke Major League Soccer (MLS) akan meninggalkan kekosongan kepimpinan di kelab yang telah tujuh kali menjadi juara Eropah itu.

    Penyerang veteran Perancis, Giroud, akan beraksi pada perlawanan terakhirnya bersama Milan dalam perlawanan persahabatan pasca-musim menentang Roma di Perth pada Jumaat ini di hadapan kira-kira 50,000 penonton di Stadium Optus.

    Pemain berusia 37 tahun itu akan menyertai Los Angeles FC (LA FC) musim depan dan akan bersara daripada bola sepak antarabangsa untuk Perancis selepas Euro, yang akan bermula di Jerman bulan depan.

    Giroud menyaksikan perpisahan penuh emosi oleh peminat Milan ketika dia menutup tirai saingan Serie A dengan menjaringkan gol dalam keputusan seri 3-3 dengan Salernitana pada Sabtu lalu.

    Pemain tengah Amerika Syarikat, Christian Pulisic, dan pemain sayap, Rafael Leao, tidak menyertai skuad lawatan Milan, namun Giroud telah membuat perjalanan jauh ke Australia.

    “Dia adalah pemimpin penting di dalam dan di luar padang… terutamanya di luar padang,” kata Calabria kepada wartawan di Perth.

    “Dia banyak menyokong saya. Saya akan merinduinya, tetapi gembira dapat menghabiskan beberapa hari ini bersama untuk meraikan pemergiannya,” tambahnya.

    Giroud adalah pemain kegemaran peminat di San Siro dan tempoh tiga tahunnya akan dikenang kerana menjaringkan gol penting dalam kejayaan Milan merangkul kejuaraan Serie A 2022, satu-satunya trofi yang dimenanginya di kelab Itali tersebut. – AFP

    Reaksi Giroud bersama rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan bola sepak Serie A Itali antara AC Milan dan Salernitana di Stadium San Siro, di Milan pada 25 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda