Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Grab batalkan pembelian syarikat teksi Singapura

    SINGAPURA, 26 JULAI – Syarikat e-hailing dan penghantaran makanan terbesar di Asia Tenggara, Grab, telah membatalkan rancangan untuk membeli syarikat teksi Singapura, kata pengawas persaingan negara kota itu kelmarin.

    Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) berkata, Grab Holdings Ltd dan Trans-cab Holdings Ltd telah memberitahu mereka bahawa mereka tidak lagi akan meneruskan cadangan pengambilalihan tersebut.

    Bulan ini, suruhanjaya itu mengeluarkan penilaian sementara yang menyatakan bahawa pengambilalihan tersebut ‘kemungkinan besar akan mengurangkan persaingan secara ketara dalam pasaran’, menjejaskan pemandu dan penumpang, serta melanggar undang-undang ‘penggabungan anti-persaingan’.

    Grab yang berpusat di Singapura menjadi platform e-hailing terbesar di Asia Tenggara selepas membeli operasi Uber yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) di rantau ini pada tahun 2018. Trans-cab adalah pengendali teksi utama di Singapura.

    “Perniagaan tidak dilarang sama ada mempunyai kedudukan dominan atau berusaha untuk melindungi kedudukan pasaran mereka melalui merit persaingan,” kata CCCS pada 11 Julai lalu.

    “Bagaimanapun, penggabungan yang melindungi, meningkatkan atau mengekalkan kedudukan dominan dengan cara yang tidak berkaitan dengan merit persaingan boleh menjadi anti-persaingan,” katanya.

    Suruhanjaya itu berkata bahawa ia tidak akan lagi mengeluarkan penilaian akhir selepas kedua-dua pihak menamatkan rancangan pengambilalihan tersebut. – AFP

    Gambar fail bertarikh 24 September 2018 menunjukkan seorang wanita berjalan melepasi pejabat pengangkutan Grab di Singapura. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda