Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    India, China sepakat tarik balik tentera dari sempadan

    NEW DELHI, 26 JULAI – India dan China telah mencapai persetujuan untuk segera menarik balik puluhan ribu tentera yang ditempatkan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, dalam usaha menyelesaikan kebuntuan yang telah berlarutan, menurut kenyataan kerajaan India.

    Menteri Luar Negeri India, Subrahmanyam Jaishankar, bertemu dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi, kelmarin di luar sidang mesyuarat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Laos.

    Dalam pertemuan itu, mereka menekankan keperluan untuk mencari penyelesaian segera isu-isu yang belum selesai di sepanjang Garis Kawalan Sebenar (LAC), sempadan
    panjang yang dikongsi oleh kedua-dua negara.

    LAC memisahkan wilayah yang dikuasai China dan India dari Ladakh di barat hingga ke negeri Arunachal Pradesh di timur India, yang dituntut sepenuhnya oleh China.

    Hubungan antara kedua-dua negara merosot pada Julai 2020 selepas pertempuran antara tentera kedua-dua negara mengorbankan sekurang-kurangnya 20 tentera India dan empat tentera China.

    Gambar AP

    Konflik tersebut berubah menjadi pertikaian jangka panjang di kawasan pergunungan tersebut, di mana kedua-dua pihak menempatkan puluhan ribu anggota tentera yang
    disokong oleh artileri, kereta kebal dan jet pejuang.

    Kedua-dua negara telah mengeluarkan tentera dari beberapa kawasan di tebing utara dan selatan Pangong Tso, Gogra serta Lembah Galwan, namun masih mengekalkan tentera tambahan sebagai sebahagian daripada penempatan berperingkat.

    Menurut kenyataan India lewat kelmarin, kedua-dua menteri luar bersetuju tentang keperluan untuk bekerjasama dengan tujuan untuk mencapai penarikan balik sepenuhnya secepat mungkin, sambil menekankan bahawa keamanan di sempadan adalah penting untuk memulihkan hubungan normal antara kedua-dua negara.

    Jaishankar dalam ucapan pembukaannya menyatakan bahawa isu sempadan telah ‘menjejaskan’ hubungan antara India dan China selama empat tahun kebelakangan ini, walaupun terdapat usaha yang ketara oleh kedua-dua pihak untuk menyelesaikannya.

    “Keadaan sempadan akan mencerminkan keadaan hubungan kita,” katanya, menurut kenyataan itu.

    Wang pula menekankan bahawa memperbaiki hubungan China-India adalah bermanfaat untuk kedua-dua negara serta negara lain.

    Menurut laporan agensi berita rasmi China, Xinhua, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama mengekalkan keamanan di kawasan sempadan dan meningkatkan kemajuan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda