Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri perabot perlu inovatif

    KUCHING, 13 FEB – Sarawak boleh mencapai sasaran pendapatan RM8 bilion daripada eksport kayu dan produk kayu menjelang 2030 dengan mempunyai industri kayu yang dirancang dengan baik, selain pereka perabot tempatan yang berkemahiran tinggi dan terlatih, kata Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Dalam meningkatkan pertumbuhan industri perabot, beliau menggesa pereka tempatan untuk lebih inovatif dan meninjau kemungkinan untuk mereka bentuk produk perabot lain selain meja dan kerusi.

    “Kini (angkanya) ialah RM44 juta untuk jumlah nilai eksport perabot.

    “Justeru, bolehkah kita mencapai jumlah itu (RM8 bilion) dalam tempoh tujuh tahun akan datang? Kita perlu meningkatkan teknologi dan kreativiti modal insan kita.

    “Jika negara lain boleh melonjak, saya yakin pereka muda kita boleh melakukannya.

    “Pereka kita perlu melangkaui reka bentuk perabot konvensional. Awda boleh mempunyai reka bentuk dari Sarawak untuk industri automotif kita seperti reka bentuk dalaman papan pemuka untuk kereta atau kapal terbang, bermakna produk perabot awda bukan sahaja kerusi dan meja tetapi keseluruhan spektrum reka bentuk dalam pasaran,” katanya pada pelancaran Minggu Reka Bentuk Sarawak.

    Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam ucapan berkata negeri yang kaya dengan kumpulan etnik yang pelbagai boleh menjadi inspirasi untuk menghasilkan produk kreatif yang dapat menembusi pasaran antarabangsa.

    Dengan tema Design For Tomorrow, acara empat hari itu bertujuan menerapkan dan mempromosikan kepentingan reka bentuk untuk perniagaan dan kreativiti dalam masyarakat selain mempamerkan reka bentuk daripada perabot dan hiasan rumah kepada fesyen dan kraftangan. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat pameran perabot mini selepas merasmikan Sarawak Design Week 2023. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda