Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inter cipta jurang besar di Serie A

    MILAN, 19 FEB – Inter Milan memastikan jurang perbezaan mata dengan pendahulu Serie A, Napoli kekal pada 15 mata, dengan kejayaan 3-1 ke atas Udinese kelmarin.

    Romelu Lukaku, Henrikh Mkhitaryan dan Lautaro Martinez berjaya menjaringkan gol walaupun bergelut untuk mendapatkan kemenangan ketika menentang pasukan di tangga kesembilan, Udinese, yang yang hanya menang sekali dalam 15 perlawanan liga terakhir mereka.

    Skuad kendalian Simone Inzaghi kekal di tempat kedua dan tiga mata di depan pencabar tempatan AC Milan, selepas menewaskan Monza 1-0 awal kelmarin, tetapi jauh di belakang Napoli yang masih berada di puncak liga selepas kemenangan 2-0 di Sassuolo pada hari Jumaat.

    “Udinese adalah pasukan yang sangat bagus dari segi fizikal dengan teknik yang baik yang menimbulkan banyak kesulitan,” kata Inzaghi kepada Sky.

    Lukaku memberikan Inter pendahuluan menerusi sepakan penalti pada percubaan kedua pada minit ke-20, gol liga pertamanya sejak perlawanan pembukaan musim ini di Lecce.

    Federico Dimarco melakukan sepakan percuma semasa perlawanan bola sepak Serie A Itali di Stadium San Siro di Milan. – AFP

    Namun Sando Lovric memberikan pasukan pelawat gol penyamaan yang sewajarnya dengan rembatan dua minit sebelum separuh masa.

    Kemudian Inter berusaha mematahkan semangat Udinese apabila Edin Dzeko terlepas peluang menjaringkan gol seminit sebelum Mkhitaryan meledak gol untuk tuan rumah.

    Bekas kapten Armenia, Mkhitaryan menyumbang gol cantik melalui hantaran daripada Federico Dimarco pada minit ke-73 di San Siro.

    Pada minit akhir, pemain gantian, Martinez pula mencetak gol kelapannya dalam semua pertandingan sejak Piala Dunia selepas menerima hantaran jauh Danilo D’Ambrosio, sekali gus memberikan Inter kemenangan besar menjelang kunjungan Liga Juara-Juara ke Porto pada Rabu.

    “Jelas sekali ia sangat penting untuk memenangi perlawanan di tempat sendiri,” kata Mkhitaryan kepada Sky.

    “Kami tahu kekuatan Porto, saya menentang mereka musim lalu dalam perlawanan persahabatan bersama Roma. Kami perlu bersedia untuk berdepan mereka.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda