Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel cadang jeda dalam pertempuran sebagai sebahagian daripada perjanjian tebusan

    JERUSALEM, 23 JAN – Zionis Israel telah mencadangkan kepada pejuang Hamas melalui pengantara Qatar dan Mesir untuk menghentikan pertempuran sehingga dua bulan sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membebaskan semua tebusan yang ditahan di Gaza, lapor laman berita Amerika Syarikat (AS), Axios, kelmarin.

    Laporan itu, memetik pegawai Israel yang tidak dinamakan, berkata perjanjian itu akan berlangsung dalam beberapa peringkat, yang pertama akan menyaksikan pembebasan wanita, lelaki berusia lebih 60 tahun dan mereka yang dalam keadaan perubatan kritikal.

    Fasa seterusnya akan melibatkan pembebasan tentera wanita, lelaki awam yang lebih muda, tentera lelaki dan mayat tebusan yang mati.

    Para pegawai berkata perjanjian itu juga akan menyaksikan pembebasan sejumlah tahanan Palestin yang masih belum ditentukan yang ditahan di Israel, tetapi tidak semuanya.

    Cadangan itu tidak termasuk janji untuk menamatkan perang, tetapi ia akan melibatkan tentera Israel mengurangkan kehadiran mereka di bandar-bandar utama di Gaza dan secara beransur-ansur membenarkan penduduk kembali ke wilayah utara yang musnah.

    Para pegawai berkata perjanjian itu dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk dilaksanakan.

    Saluran Israel Ynet juga melaporkan cadangan itu, memetik sumber yang tidak dinamakan, dan berkata Perdana Menteri Zionis Israel, Benjamin Netanyahu telah merujuknya dalam pertemuan dengan keluarga tebusan, kelmarin.

    Berita mengenai cadangan itu datang ketika media AS berkata penyelaras Rumah Putih untuk Timur Tengah, Brett McGurk, sepatutnya berada di rantau itu untuk mesyuarat di Mesir dan Qatar bertujuan untuk mendapatkan perjanjian pertukaran tebusan baharu.

    Kira-kira 250 tebusan telah diambil semasa serangan Hamas pada 7 Oktober, dan Israel berkata kira-kira 132 masih berada di Gaza.

    Itu termasuk mayat sekurang-kurangnya 28 tebusan yang mati, menurut kiraan AFP berdasarkan data Israel. – AFP

    Keluarga Palestin melarikan diri dari bandar di jalan pantai menuju ke Rafah, kelmarin, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan militan Palestin Hamas. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda