Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel mesti hentikan pencabulan undang-undang antarabangsa

    THE HAGUE, 23 FEB – Israel mesti terlebih dahulu berhenti daripada terus mencabuli undang-undang antarabangsa serta setiap elemen teras dalam hak rakyat Palestin untuk menubuhkan tanahair sendiri, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Dalam kenyataan lisan Malaysia pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda kelmarin, Mohamad berkata Israel mesti menghentikan semua dasar dan amalan berkaitan dan serta-merta berundur dari Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

    Kedua, beliau berkata Israel wajib berjanji dan memberikan jaminan untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

    “Dan ketiga, Israel dipertanggungjawabkan untuk menawarkan pemulihan penuh supaya keadaan kembali kepada asal. Ini bermakna ia mesti benar-benar melaksana dan melakukan pindaan perundangan, termasuk menghapuskan atau menarik balik semua langkah perundangan yang bertentangan dan peraturan yang diluluskan sebelum ini bagi kawasan OPT,” katanya.

    Mohamad berkata Israel perlu menawarkan pampasan bagi segala bentuk kemusnahan material dan moral yang berpunca daripada pencabulan hak rakyat Palestin, meskipun pada hakikatnya pampasan itu tidak dapat benar-benar memulihkan sepenuhnya keadaan.

    Lebih 50 negara membentangkan hujah mereka mengenai akibat perundangan berhubung pendudukan Israel di Palestin pada sesi pendengaran awam itu yang bermula Isnin. Mohamad memulakan pembentangannya dengan membicara secara ringkas bidang kuasa dan budi bicara Mahkamah bagi memenuhi permintaan Perhimpunan Agung PBB, disusuli pendirian Malaysia berkaitan kesahihan dasar dan tindakan Israel di OPT. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda