Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel sasar bandar kedua terbesar Gaza

    KHAN YOUNIS, 5 DIS – Israel melanjutkan lagi serangan pengeboman di sekitar bandar kedua terbesar Gaza pada awal pagi tadi, menyebabkan banyak ambulans dan kereta persendirian menuju ke hospital tempatan membawa mangsa yang cedera dalam fasa baharu peperangan berdarah itu.

    Di bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk mencegah kematian besar-besaran, Israel berkata ia akan meluaskan serangannya ke selatan Gaza selepas melenyapkan sebahagian besar rantau utara – namun rakyat Palestin mengatakan tidak ada kawasan di mana mereka berasa selamat dan ramai yang takut jika mereka meninggalkan rumah, mereka tidak akan dibenarkan kembali.

    Pengeboman udara dan serangan darat telah menyebabkan tiga perempat daripada 2.3 juta penduduk di wilayah itu meninggalkan kediaman mereka dan arahan baharu untuk memindahkan kawasan sekitar Khan Younis mendorong orang ramai menuju ke kawasan yang lebih kecil di semenanjung pantai.

    Di Hospital Nasser di Khan Younis, ambulans membawa masuk puluhan mangsa yang cedera. Pada satu ketika, sebuah kereta terpaksa berhenti dan seorang lelaki keluar membawa seorang budak lelaki dalam baju yang berdarah, di mana tangannya telah terputus.

    “Apa yang berlaku di sini tidak dapat dibayangkan,” kata Hamza al-Bursh, yang tinggal di kawasan kejiranan Maan, salah seorang penduduk di sekitar bandar di mana orang awam telah diarah berpindah keluar. “Mereka menyerang secara melulu.”

    Penduduk berkata tentera telah mara berikutan serangan udara di Bani Suheila, sebuah bandar di timur Khan Younis. Halima Abdel-Rahman, yang melarikan diri ke bandar itu dari rumahnya di utara sebelum peperangan, berkata mereka boleh mendengar letupan sepanjang malam. – AP

    Kepulan asap kelihatan di atas bangunan di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, ketika pertempuran antara Israel dan pejuang Hamas berterusan kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda