Wednesday, November 13, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Imigresen tumpas sindiket pasport ‘Ofu Bhai’

    PUTRAJAYA, 13 MEI – Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket ‘Ofu Bhai’ yang aktif menjalankan kegiatan pemalsuan dan pengubahsuaian pasport tulen sejak dua tahun lepas, dalam operasi di sebuah rumah di Kajang, Selangor pada 10 Mei lepas.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata dalam operasi pada jam 4:14 petang itu, dalang utama iaitu lelaki warga Bangladesh berumur 38 tahun dikenali sebagai ‘Ofu Bhai’ ditahan bersama wanita warga Filipina berumur 40 tahun yang merupakan orang kanannya. 

    Beliau berkata sindiket itu menawarkan perkhidmatan meminda pasport tulen yang telah tamat tempoh bagi mengelirukan pihak berkuasa dengan harga RM1,000 hingga RM1,500 bagi satu pasport.

    Beliau berkata pemeriksaan di rumah berkenaan membawa kepada penemuan satu set komputer, 211 pasport yang terdiri daripada 199 pasport Bangladesh, empat pasport India, tiga pasport Filipina, tiga pasport Myanmar dan dua pasport Indonesia.

    Turut ditemukan ialah 31 helaian muka depan biodata pasport, 144 keping dokumen Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu dan wang tunai sebanyak RM16,000.

    Ruslin berkata kedua-dua suspek kini direman selama 14 hari di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1969/63. – Bernama

    Datuk Ruslin Jusoh (tiga dari kanan) ketika sidang media berhubung Operasi Sindiket Pemalsuan Dokumen ‘Ofu Bhai’ di Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia di Kompleks D, Putrajaya, Malaysia kelmarin. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda