Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun, Iraq layak ke pusingan 16 terakhir

    DOHA, 25 JAN – Jepun mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selepas jaringan berganda Ayase Ueda memastikan kemenangan 3-1 ke atas Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia 2023 di Stadium Al Thumama, semalam.

    Penyerang kelab Feyenoord itu meletakkan juara empat kali itu dalam kawalan awal apabila  membuka jaringan pada minit keenam dengan sepakan penalti selepas kesilapan ketua pasukan Indonesia, Jordi Amat menghalang pergerakan penyerang tersebut di kawasan penalti.

    Pengadil tuan rumah, Khamis Al Marrien, pada mulanya membenarkan permainan diteruskan sebelum melakukan rujukan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan tidak teragak-agak menghadiahkan penalti kepada Jepun.

    Penguasaan awal membolehkan Jepun menekan Indonesia melakukan kesilapan pertahanan dengan pemain sayap, Takefusa Kubo, terlepas beberapa peluang terbaik untuk menggandakan kelebihan pada separuh masa pertama.

    Pada minit ke-52, Ueda, yang tidak dikawal pemain pertahanan Indonesia, menjaringkan gol kedua peribadinya apabila menyempurnakan bola hasil hantaran pemain tengah, Ritsu Doan. 

    Jepun meneruskan penguasaan dengan melakukan serangan oleh Ueda memaksa pemain pertahanan Indonesia, Justin Hubner, menghadiahkan gol kepada Jepun apabila tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-87.

    Sandy Walsh berjaya mendapatkan gol sagu hati Indonesia dengan mengatasi penjaga gol Jepun, Zion Suzuki pada masa tambahan seminit perlawanan.

    Kemenangan itu menyaksikan Jepun menamatkan peringkat kumpulan selaku naib juara, ketinggalan tiga mata di belakang Iraq yang mengumpul sembilan mata selepas mengalahkan Vietnam 3-2 dalam satu lagi perlawanan.

    Sementara itu, di Stadium Jassim bin Hamad, pemain simpanan, Aymen Hussein menjaringkan gol kemenangan Iraq menerusi sepakan penalti pada saat-saat terakhir perlawanan untuk mengecewakan Vietnam 3-2. – Bernama

    Jordi bersaing untuk mendapatkan bola ketika menentang Ueda di Stadium al-Thumama di Doha pada 24 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda