Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun ucap selamat tinggal kepada panda

    TOKYO, 21 FEB – Peminat panda Jepun mengucapkan selamat tinggal dengan linangan air mata kepada panda kegemaran mereka, Xiang Xiang, super papa Eimei dan dua anak kembar betina yang dihantar semula ke China hari ini untuk diletakkan di kemudahan dilindungi di wilayah Sichuan, China.

    Beratus-ratus orang menunggu di luar Zoo Ueno, Tokyo untuk merakamkan gambar, menyapu airmata dengan sapu tangan dan melambai ke arah trak membawa Xiang Xiang ketika ia secara perlahan melepasi mereka dalam perjalanan ke lapangan terbang.

    Manakala kumpulan lain berkumpul di Lapangan Terbang Narita untuk mengucapkan selamat tinggal ketika pesawat membawa Xiang Xiang pergi.

    Tontonan terakhir Xiang Xiang pada Ahad dihadkan kepada 2,600 orang bertuah yang memenangi tiket mereka dalam cabutan yang kompetitif, menyaksikan lebih daripada setengah juta pemohon.

    Xiang Xiang diiringi oleh dua orang staf zoo menaiki penerbangan ke Chengdu. Panda itu dalam keadaan baik dan tampak tenang semasa pelepasannya di lapangan terbang, di mana ia makan snek kegemaran pucuk buluh dan epal, ciap Zoo Ueno.

    Pengarah Zoo Ueno, Yutaka Fukuda mengatakan dia akan merindukan panda itu memandangkan dia sudah melihatnya sejak lahir lagi pada 2017.

    “Saya mahu berterima kasih kepadanya kerana membuatkan ramai orang gembira,” tambahnya.

    “Saya berharap ia boleh menyumbang kepada penyelidikan pemuliharaan panda selepas melengkapkan perjalanannya dengan selamat,” katanya.

    China menghantar panda keluar negara sebagai tanda muhibah namun mengekalkan pemilikan haiwan itu atau mana-mana anak yang dilahirkannya. Haiwan itu berasal dari barat daya China dan merupakan maskot tidak rasmi kebangsaan. – AP

    Xiang Xiang, panda gergasi kelihatan semasa meraikan ulang tahun pertama di Zoo Ueno, Tokyo, pada Jun 2018. Jepun menghantar pulang Xiang Xiang dan keluarga ke kemudahan perlindungan di Sichuan, China, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda