Friday, May 17, 2024
27.7 C
Brunei

    -

    Jerman batal perintah pemakaian pelitup muka

    BERLIN, 13 JAN – Jerman akan menggugurkan perintah pemakaian pelitup muka bagi perjalanan jarak jauh menggunakan kereta api dan bas, salah satu daripada sekatan COVID-19 terakhir negara itu, menurut menteri kesihatan kelmarin.

    Perintah tersebut akan digugurkan pada 2 Februari, umum Menteri Kesihatan, Karl Lauterbach di Berlin.

    Negara-negara Eropah yang lain telah pun membatalkan perintah pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam, dan Lauterbach berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk mengikut langkah itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Pemakaian pelitup muka kekal diwajibkan dalam kalangan doktor, manakala pemakaian pelitup muka dan keputusan negatif COVID-19 masih lagi diperlukan untuk memasuki hospital dan rumah penjagaan orang tua.

    Peraturan untuk pengangkutan awam adalah satu urusan 16 kerajaan negeri di Jerman, dan sebilangan besar telah atau sedang menggugurkan perintah pemakaian pelitup muka. Sebilangan kecil kerajaan negeri juga telah meninggalkan peraturan yang mewajibkan orang yang dijangkiti virus untuk menjalani kuarantin di rumah.

    Peraturan pengangkutan jarak jauh dijadualkan berakhir pada 7 April, namun undang-undang membenarkan peraturan tersebut digugurkan lebih awal jika situasi menjadi lebih baik daripada jangkaan.

    Selepas salah seorang ahli virologi terkemuka Jerman berkata sejurus Krismas bahawa pandemik telah berakhir, Lauterbach yang selama ini mengambil pendekatan berhati-hati, menerima banyak gesaan dari dalam dan luar pakatan kerajaan untuk menggugurkan perintah berkenaan.

    “Situasi pandemik telah menjadi stabil,” kata menteri itu kelmarin, dengan bilangan jangkitan tidak berkembang dan bilangan pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital semakin berkurangan.

    “Populasi kini telah membina imuniti yang tinggi dan pakar-pakar yang telah menasihati kami tidak lagi percaya akan ada gelombang yang lebih besar,” tambahnya. “Pada tahap ini, kami juga tidak akan menjangkakan varian yang berbahaya akan sampai kepada kami dalam masa beberapa bulan akan datang.”

    Lauterbach merayu kepada orang ramai supaya terus melindungi diri masing-masing dengan memakai pelitup muka secara sukarela apabila berada di dalam bangunan dan kereta api. – AP

    Gambar fail bertarikh 23 Jun 2020 menunjukkan orang ramai memakai pelitup muka untuk melindungi diri mereka daripada virus COVID-19 dalam kereta api bawah tanah di Berlin, Jerman. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Keganasan semakin menjadi di New Caledonia

    NOUMEA, 17 MEI - Keganasan berlaku di seluruh New Caledonia untuk hari ketiga berturut-turut kelmarin, beberapa jam selepas Perancis mengenakan keadaan darurat di wilayah...