Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karnival PPB 2022 buka tirai

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Yusrin Junaidi & Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Sebanyak 48 vendor mengetengahkan pelbagai produk mereka pada Karnival Pusat Pembangunan Belia (PPB) 2022 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Muhibah Jabatan Daerah Brunei dan Muara, bermula hari ini.

    Pelancaran karnival berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di Kementerian Kebuda-yaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin.

    Daripada jumlah vendor berkenaan, sembilan terdiri daripada para pelatih Program Pembangunan Belia sesi 2022, 17 vendor dari Alumni Usahawan PPB (peserta Program Komuniti dan Program YDC Lights’ On) dan selebihnya adalah penyertaan daripada pengusaha-pengusaha tempatan yang turut mendukung karnival tersebut.

    Ekspo mini anjuran PPB itu merupakan projek tahunan sebagai salah satu platform Program Keusahawanan PPB bagi para pelatih meneroka potensi serta kreativiti dalam bidang keusahawanan dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka selaras dengan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian mereka di PPB.

    Penolong Pengarah PPB, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapannya menjelaskan, projek keusahawanan akhir tahun itu juga memberikan peluang dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang keusahawanan ke arah membentuk sifat berinovasi dan bekerjasama dalam berpasukan, berdaya tahan dan meningkatkan keyakinan diri untuk menjalankan perniagaan agar dapat menjana pendapatan secara mandiri dengan kemahiran yang dipelajari.

    Beliau berkata, karnival berkenaan juga merupakan salah satu inisiatif PPB untuk memastikan bukan sahaja pelatih tahun ini, malahan lepasan pelatih dari PPB mahupun Program Komuniti sebelum ini, mempunyai hala tuju setelah tamat pengajian iaitu dari aspek kebolehpasaran atau kebolehkerjaan.

    Tambahnya, Program Lights’ On PPB merupakan sebuah program keusahawanan yang dilaksanakan oleh PPB bagi Alumni Usahawan PPB yang sudah mempunyai dan menjalankan perniagaan sendiri dan berhasrat meningkatkan serta mengembangkan lagi rangkaian usahawan tempatan di negara ini.

    Beberapa acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan karnival berkenaan seperti Mini Fun Games, sesi perkongsian daripada agensi-agensi dalam bidang keusahawanan, persembahan gulingtangan, sesi tunjuk cara gubahan Ikebana, mewarna untuk kanak-kanak, permainan Nerf dan memanah, Kids Got Talent dan live cooking kuih tradisional Brunei.

    Haji Zakaria menyempurnakan perasmian karnival yang berlangsung di Dewan Muhibah Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
    ATAS & BAWAH: Haji Zakaria melawat petak-petak jualan di Karnival PPB yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda