Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kecederaan lutut kiri hanya permainan minda’

    HANGZHOU, 23 OKT – Terpaksa menahan sakit ekoran dibelenggu kecederaan lutut kiri seminggu sebelum temasya Sukan Para Asia 2022 Hangzhou membuka tirai, sama sekali tidak mematahkan semangat Noor Imanina Idris membutirkan pingat acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) wanita, hari ini.

    Beliau yang menyifatkan kesakitan itu sekadar permainan minda, tanpa berselindung memaklumkan tidak meletak sasaran spesifik selain hanya mahu memperbaiki catatan rekod peribadi 10.57 meter (m) dilakarnya pada Sukan Para Asean Kemboja 2023, Jun lepas.

    Namun kegembiraan jelas terpancar di wajah atlet berusia 25 tahun itu, selepas berjaya melakukan lontaran sejauh 11.08m sekali gus merangkul gangsa pada saingan berlangsung di Stadium Pusat Sukan Huang Long, di sini.

    “Saya tak sangka nak dapat pingat sebab nak perbaiki rekod peribadi sahaja pada mulanya.

    “Saya juga masih mengalami kecederaan di bahagian lutut semasa menjalani latihan untuk ke sini. Tapi perkara itu tiada langsung dalam fikiran, yang pasti saya hanya mahu buat yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

    Beliau pada masa sama turut mendedikasikan kejayaan gangsanya itu kepada keluarga serta rakyat Malaysia atas sokongan diberikan kepadanya selama ini.

    Terdahulu, atlet Jepun, Hori Reina muncul juara dengan lontaran sejauh 11.93m sementara perak diraih Yati Suparni dari Indonesia (11.12m). – Bernama

    Noor Imanina meraih gangsa dalam acara lontar peluru F20 wanita. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda