Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    Kementerian Pertahanan, ABDB adaptasi peranan tangani pandemik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Peruntukan Kementerian Pertahanan bagi Tahun Kewangan 2022/2023 berjumlah $597,673,680 telah diluluskan sebulat-suara pada hari keempat permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Menerangkan mengenai peruntukan berkenaan, Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berkata bahawa negara dan dunia sedang berjuang mengharungi arus krisis penularan COVID-19, di mana di samping memberikan impak kepada kehidupan seharian, ancaman rentas negara, ia turut mengorbankan warganegara.

    “Hingga ke hari ini, ancaman pandemik ini masih sukar diramal dari pelbagai sudut, terutama sekalinya bila ianya akan berakhir. Inilah yang dinilai sebagai manifestasi ketidakpastian ataupun uncertainty yang sering disebutkan mengenai ancaman-ancaman dan risiko-risiko keselamatan masa hadapan.”

    Berasaskan ketidakpastian itu, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sentiasa peka akan kepentingan untuk mewujudkan tahap kapasiti, keupayaan dan kesiapsiagaan yang efektif bagi membolehkan penyesuaian peranan (adaptability) dan respons yang pantas kepada apa jua bentuk ancaman yang akan timbul menanti.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menerangkan bahawa rancangan strategik dan pelaksanaan pembangunan kapasiti, keupayaan dan kesiapsiagaan dalam perubatan tentera dan operasi-operasi tentera di samping peperangan (MOOTW) khasnya, telah meningkatkan tahap responsiveness dan membolehkan Kementerian Pertahanan dan ABDB untuk memberikan sokongan berkesan kepada tindak balas kebangsaan dalam berhadapan ancaman pandemik.

    Semenjak bermulanya gelombang kedua pandemik pada Ogos lalu, jelasnya, ABDB telah diberikan kepercayaan dan tanggungjawab yang lebih besar jika dibandingkan dengan fasa pertama melalui penerajuan Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19, N3C19, dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan.

    Pusat itu berperanan sebagai nadi penggerak utama dalam menentukan keperluan pentadbiran dan merancang operasi yang berbentuk non-clinical bersama kementerian,agensi dan jabatan yang berkepentingan.

    “Walaupun kita bukannya dalam peperangan bersama musuh dari sudut konvensional, namun elemen-elemen perancangan operasi sedia ada yang berlan-daskan prinsip, konsep, serta doktrin tentera seperti Command and Control, dan Civil-Military Cooperation (CIMIC) turut dinilai relevan dan digunapakai dalam mengkoordinasikan respons senegara yang lebih teratur dan berkesan dalam operasi yang bersifat kompleks ini.”

    Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa Pasukan Petugas (Task Force) COVID-19 turut ditubuhkan sejak 2020 untuk memberi pelbagai bantuan operasi dalam mendokong-tambah kapasiti Kementerian Kesihatan melalui peranan bantuan tenaga dan kepimpinan di pusat-pusat pengasingan, bantuan logistik, ujian makmal dan saringan COVID-19, pelaksanaan program vaksinasi, operasi masjid serta bantuan khidmat jenazah.

    Melalui mekanisme-mekanisme sedia ada dan yang baru ditubuhkan itu, kira-kira 3,000 orang anggota ABDB telah dikerahkan ke 18 lokasi di seluruh negara dalam sama-sama membendung wabak COVID-19.

    Sementara itu, lebih 100 orang pegawai dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan turut menyumbang bakti kepada kerajaan bertugas sebagai frontliners dan sukarelawan di N3C19, Kementerian Kesihatan, dan Pusat Khidmat Perubatan dan Kesihatan (MRS), Bolkiah Garison.

    “Meskipun penglibatan ABDB sewaktu krisis pandemik ini kelihatan lebih menjurus kepada operasi bukan tradisional, namun kesediaan ABDB untuk melaksanakan operasi-operasi konvensional dan operasi bantuan rutin tidak sama sekali diabaikan.”

    Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa perlindungan infrastruktur-infrastruktur utama negara, operasi rondaan-rondaan keselamatan di sempadan darat dan kawasan maritim (termasuk jalan-jalan tikus), pengawasan kawasan udara serta bantuan kemanusiaan dan bencana alam (HADR) tetap diteruskan sepanjang masa.

    Beliau mendedahkan bahawa salah satu trend keselamatan yang dapat dikenal pasti sejak bermulanya pandemik dua tahun yang lalu ialah peningkatan dalam jumlah aktiviti-aktiviti jenayah merentas sempadan termasuk penyeludupan dadah haram.

    “Ini setentunya trend yang sangat membimbangkan akan tetapi dengan kerjasama agensi-agensi keselamatan, penguatkuasaan serta rakyat negara ini, Alhamdulillah kita telah berjaya mengekang aktiviti-aktiviti haram berkenaan dengan mengendalikan lebih banyak operasi ketika keadaan yang tidak menentu ini,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...