Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketahui peranan kita sebagai rakyat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini telah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan Peranan dan Tanggungjawab sebagai Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Daerah Brunei dan Muara dan di Daerah Belait.

    Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, bagi Daerah Brunei dan Muara, taklimat yang dikendalikan oleh Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik telah diadakan di Auditorium, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Gadong.

    Taklimat yang dihadiri oleh seramai 412 penuntut itu disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris.

    Turut hadir ialah Pengetua Maktab, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dr Mohd Zamri bin Haji Ismail, dan para tenaga pengajar.

    Taklimat itu dijadikan sebagai salah satu perisian sempena Hari Melayu Islam Beraja bagi maktab berkenaan.

    Para penuntut IBTE Kampus Jefri Bolkiah yang hadir semasa taklimat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    Manakala di Daerah Belait, seramai 208 penuntut IBTE Kampus Jefri Bolkiah juga menghadiri taklimat sama yang dikendalikan oleh Cawangan Penerangan Daerah Belait.

    Taklimat itu disampaikan oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Musa bin Mohiddin di dewan serba guna kampus berkenaan.

    Turut hadir ialah Pegawai Pentadbiran, Dayang Zahrina binti Zainal Abidin, berserta tenaga pengajar.

    Antara perisian taklimat yang disentuh di kedua-dua buah sekolah berkenaan adalah mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah, masyarakat serta keluarga dalam sama-sama menyumbang untuk kesejahteraan negara.

    Program antara lain bertujuan untuk menanamkan rasa cinta kepada raja, bangsa dan negara di samping menyuntik semangat patriotisme dalam diri para penuntut melalui taklimat yang disampaikan selain dihasratkan bagi mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035 dan inisiatif dalam Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda