SEOUL, 13 JAN – Pihak berkuasa Korea Selatan hari ini mengumumkan akan mengubah penghadang konkrit yang digunakan untuk navigasi di lapangan terbang di seluruh negara selepas kemalangan pesawat Jeju Air yang meragut 179 nyawa.
“Penambahbaikan diperlukan termasuk pada alat localiser dan asasnya untuk sembilan kemudahan di tujuh lapangan terbang, termasuk lapangan terbang Muan,” kata kementerian tanah dalam satu kenyataan.
Perubahan itu juga akan melibatkan lapangan terbang antarabangsa di bandar Jeju dan Gimhae.
Penyiasat dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat masih menyiasat punca kemalangan itu, yang menyebabkan negara tersebut berkabung dengan tugu peringatan didirikan di seluruh negara.
Tumpuan kini diberikan kepada beberapa kemungkinan punca kejadian, termasuk persoalan mengenai kedudukan halangan konkrit localiser di hujung landasan. Halangan di Lapangan Terbang Muan itu didakwa memburukkan lagi tahap keparahan nahas tersebut.
Kementerian itu menyatakan rancangan untuk menyesuaikan halangan navigasi tersebut akan dimuktamadkan menjelang akhir Januari, dengan sasaran penambahbaikan diselesaikan dalam tahun ini.
Siasatan menjadi lebih rumit apabila Kementerian Pengangkutan mengesahkan pada Sabtu bahawa kotak hitam pesawat, yang merekod data penerbangan dan perbualan kokpit, berhenti merakam empat minit sebelum nahas berlaku. Kementerian turut memaklumkan tempoh penutupan Lapangan Terbang Muan dilanjutkan sehingga 19 Januari. – AFP