Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latih tupai untuk perangi pengedaran dadah

    CHONGQING, CHINA, 14 FEB – Polis di bandar Chongqing, China mula menggunakan tupai yang dilatih secara khusus untuk memerangi jenayah pengedaran dadah.

    Briged Anjing Polis Bahagian Polis Jenayah di Daerah Hechuan, Chongqing telah berjaya membiak kumpulan pertama tupai penghidu dadah di China.

    Kejayaan itu adalah sebahagian daripada projek penyelidikan dan pembangunan utama negara, antaranya menubuhkan kaedah latihan baharu untuk haiwan antidadah.

    Para saintis telah lama menyedari tentang deria bau tupai, tetapi kaedah latihan untuk rodensia masih belum cukup maju sehingga kini.

    Agensi berita China baru-baru ini melaporkan bahawa Briged Anjing Polis di Daerah Hechuan telah berjaya melatih enam ekor tupai untuk mengesan dadah dan ia akan mula bertugas bersama-sama anggota polis bagi membantu mencari bahan terlarang yang disembunyikan.

    Yin Jin, ketua pelatih briged anjing polis Hechuan, memberitahu wartawan bahawa dia dan pasukannya berjaya melatih enam ekor tupai menggunakan teknologi dan latihan yang dibangunkan secara dalaman.

    Rodensia berkenaan dilaporkan dilatih untuk mencakar kawasan di mana ia mengesan dadah.

    Ujian-ujian menunjukkan bahawa tupai bukan setakat mempunyai deria menghidu yang tajam seperti anjing, malahan ia juga memberikan kelebihan kerana bersaiz kecil, pantas dan mempunyai kemampuan untuk mencapai tempat-tempat tinggi yang tidak boleh dilakukan oleh anjing.- Agensi

    Polis di bandar Chongqing menggunakan tupai yang dilatih secara khusus untuk memerangi jenayah pengedaran dadah.- Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda