Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan kerja tingkat persefahaman dua negara

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan MCI (Ministry of Communications and Information)

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah mengadakan lawatan kerja ke Republik Singapura di bawah Program S R Nathan Fellowship pada 8 Februari hingga kelmarin.

    Semasa lawatan itu, Yang Berhormat Dato telah mengadakan kunjungan hormat kepada beberapa orang pemimpin Republik Singapura termasuk Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong; Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Kesihatan Singapura, Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung.

    Semasa kunjungan-kunjungan hormat berkenaan, para pemimpin telah bertukar-tukar idea, pandangan dan pengalaman berkaitan isu-isu semasa serta membincangkan perkembangan-perkembangan serantau dan antarabangsa, di samping mengalu-alukan kerjasama dua hala dalam bidang kepentingan bersama terutamanya bidang kesihatan antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

    Turut hadir dalam kunjungan-kunjungan hormat berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Sidek bin Ali.

    Yang Berhormat Dato juga berkesempatan mengadakan lawatan ke Saw Swee Hock School of Public Health (SSHSPH), Health Promotion Board (HPB), Kallang Polyclinic, Singapore Food Agency (SFA) dan Kementerian Kesihatan Singapura. Sepanjang lawatan kerja itu, Yang Berhormat Dato telah diberikan taklimat mengenai fungsi dan peranan institusi-institusi berkenaan dalam usaha mempromosikan kesihatan, program pencegahan penyakit tidak berjangkit, program saringan kebangsaan, penggunaan teknologi kesihatan digital, pembiayaan penjagaan kesihatan dan keselamatan makanan, di samping mengadakan perbincangan berhubung isu-isu berkaitan.

    Program S R Nathan Fellowship yang dianugerahkan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham oleh kerajaan Singapura merupakan program peringkat tinggi yang membolehkan pemimpin-pemimpin untuk mengadakan dialog dan bertukar idea, pengalaman dan perspektif bersama pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Singapura, sekali gus menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara Singapura dan negara-negara yang dijemput.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa melawat salah sebuah pusat kesihatan di Singapura.
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa bertemu dengan TYT Teo Chee Hean.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda