Monday, September 23, 2024
32.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lee Joon Gi terkejut sambutan luar biasa peminat Malaysia

    Pelakon Lee Joongi tidak menyangka kehadirannya buat pertama kali di Malaysia mendapat sambutan hangat daripada peminat.

    Kata Joong Gi, 42, dia berasa kesal kerana tidak datang lebih awal ke Malaysia bagi menghiburkan peminat di sini. Pelakon berkenaan terharu dengan penerimaan peminat dan berjanji akan kembali semula dengan menampilkan persembahan lebih baik.

    “Sambutan peminat yang meriah ini membuatkan saya rasa menyesal tidak datang ke Malaysia lebih awal. Terima kasih kerana menerima kehadiran saya. Peminat Malaysia memang mantap. Saya berjanji akan kembali semula ke sini dengan persembahan yang lebih baik,” katanya.

    Joong Gi berkongsi perkara itu menerusi acara ‘2024 Lee Joong Gi Asian Tour Malaysia’ yang diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada malam kelmarin.

    Dalam pada itu, Joong Gi memberitahu dia memilih beberapa pilihan lagu untuk dinyanyikan di acara sesi bertemu peminat ini mengikut pilihan orang ramai. Menurut aktor berkenaan, dia berusaha untuk menghiburkan penonton yang hadir meskipun dirinya bukan seorang penyanyi.

    “Kebanyakan lagu yang saya pilih malam ini (Ahad) adalah kegemaran peminat-peminat saya. Saya sudah menyanyi dan menari selama 18 tahun. Namun saya ingin mengingatkan kepada semua yang saya bukanlah seorang penyanyi yang hebat tetapi hanyalah pelakon. Saya hanya mahu menghiburkan peminat dengan baik,” ujarnya.

    Biarpun sudah berusia 40-an, penyanyi berasal dari Busan, Korea Selatan ini wajar diberi pujian kerana masih lagi mampu untuk memberikan persembahan bertenaga menerusi 16 buah lagu. Kebanyakan lagu yang dinyanyikan turut diselitkan dengan koreografer tarian lincah yang bertenaga.

    Antara lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Joong Gi termasuk Thank You, Ma Lady, Chosen One, In My Heart dan banyak lagi.

    Lebih menggamatkan persembahan, pelakon drama Lawless Lawyer ini turut menyanyikan sebuah lagu bahasa Melayu berjudul Rasa Sayang.

    Persembahan selama tiga jam itu turut diselitkan dengan dua segmen interaksi bersama peminat menerusi aktiviti merakamkan lima idea swafoto mengikut pilihan penonton dan persembahan lakonan aksi daripada aktor berkenaan. – Agensi

    Joon Gi terharu dengan sambutan yang diterima daripada peminat. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda