Friday, November 1, 2024
33.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dijumpai setelah hanyut lebih 2 bulan

    KHABAROVSK, 01 NOV – Seorang lelaki Rusia berusia 46 tahun baru-baru ini diselamatkan selepas menghabiskan 67 hari hanyut di perairan Rusia dalam bot kembung.

    Menurut Oddity Central, pada 9 Ogos lalu, Mikhail Pichugin bersama abangnya, Sergey yang berusia 49 tahun serta anak saudaranya Ilya yang berusia 15 tahun berangkat ke Pulau Sakhalin dari wilayah Khabarovsk timur jauh dengan sebuah bot kembung.

    Beberapa hari kemudian, keluarga mereka melaporkan kehilangan mereka dan operasi mencari dan menyelamat dengan pesawat dan helikopter dijalankan.

    Segala usaha untuk mencari bot kembung itu gagal, harapan untuk menemui mereka semakin pudar. Tetapi pada Isnin, 14 Oktober, bot kembung itu dikesan di Laut Okhotsk, kira-kira 1,000km dari tempat ia berlepas 67 hari sebelumnya.

    Ajaibnya, salah seorang daripada tiga lelaki itu masih hidup.

    Mikhail Pichugin benar-benar bernasib baik kerana bot yang dinaikinya selama 67 hari telah dikesan oleh sebuah bot nelayan pada kira-kira jam 10:00 malam secara kebetulan.

    Lelaki berusia 46 tahun itu hampir tidak mempunyai kekuatan untuk bercakap dan bergelut untuk menangkap tali yang dilemparkan oleh kru bot nelayan.

    Malangnya, abang dan anak saudara Pichugin tidak bernasib baik.

    Ilya yang berusia 15 tahun adalah yang pertama terkorban selepas kira-kira tiga minggu di atas bot.

    Pada satu ketika, Sergey cuba membasuh lukanya akibat kudis katil kerana duduk terlalu lama dan tiba-tiba terjatuh ke dalam air yang berais itu. Mikhail cuba menyelamatkannya, tetapi abangnya tidak dapat bertahan lama selepas itu.

    Sebagai satu-satunya yang terselamat, Mikhail Pichugin mengikat kedua-dua mayat pada bot supaya tidak terbalik ditolak oleh ombak kuat dan turut menggantung jaket mereka di tepi bot untuk menarik perhatian sekiranya ada kapal atau kapal terbang yang melintas.

    Tiada siapa tahu dengan tepat bagaimana lelaki Rusia berusia 46 tahun itu berjaya bertahan begitu lama di tengah lautan yang membeku, tetapi isterinya memberitahu media bahawa berat badan mungkin menyelamatkannya.

    Pichugin dilaporkan mempunyai berat sekitar 100 kilogram sebelum dia peristiwa tersebut, tetapi beratnya hanya tinggal 50 kilogram semasa diselamatkan. Bekalan makanan seperti mee kering, kacang dan air yang dibawa pula hanya cukup untuk dua minggu.

    Media Rusia melaporkan bahawa Pichugin berada kini dalam keadaan ‘kurang stabil’ kerana dia masih terkejut dan kemungkinan besar mengalami hipotermia.

    Bagaimanapun, dia kini menghadapi risiko untuk didakwa kerana melanggar peraturan keselamatan dan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun. – Agensi

    Bot kembung yang digunakan oleh Mikhail Pichugin. – Oddity Central
    Tangkap layar dari rakaman video semasa Mikhail Pichugin ditemui. – Oddity Central

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda