Friday, May 17, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Lula ikrar tadbir semula Brazil yang bersatu

    BUENOS AIRES, 31 OKT – Luiz Inacio Lula da Silva kelmarin berikrar untuk mentadbir Brazil yang bersatu padu selepas menewaskan penyandangnya Jair Bolsonaro dalam pusingan kedua pilihan raya presiden pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

    Menurut data dikeluarkan Tribunal Pilihan Raya, Lula memperoleh 59.8 juta undi (50.86 peratus) mengatasi penyandang Presiden Jair Bolsonaro dari Parti Liberal (PL) dengan 57.8 juta undi (49.14 peratus).

    Pilihan raya itu disifatkan sebagai pemilihan paling sengit dan pilihan raya penting sejak Brazil kembali kepada sistem demokrasi.

    Lula menyeru rakyatnya bersatu dan berikrar memerangi kelaparan serta melaksanakan tindakan tegas menentang penebangan hutan di Amazon.

    “Rakan-rakan saya. Mulai 1 Januari 2023, saya akan mentadbir 215 juta rakyat Brazil dan bukan hanya untuk mereka yang mengundi saya. Tidak ada dua Brazil. Kita adalah satu negara, satu rakyat, negara yang hebat,” katanya ketika berucap kepada penyokongnya di Sao Paulo.

    Bekas Presiden Brazil Luiz Inacio Lula melambai kepada penyokong yang berkumpul di Paulista Av, Sao Paolo, Brazil. – AP

    Lula juga mengakui bahawa Brazil “berdepan situasi sukar” dan menegaskan sudah tiba masanya semua pihak menjauhi kebencian.

    “Kita akan cari jalan keluar supaya negara ini dapat hidup secara demokrasi dan harmoni semula.

    “Tiada siapa yang berminat untuk tinggal di negara yang berpecah belah,dan perbalahan yang berterusan,” katanya.

    Lula menyifatkan perjuangan menentang kelaparan sebagai “komitmennya yang paling mendesak” selepas Brazil kembali tersenarai dalam Hunger Map Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas lapan tahun, dengan 33 juta rakyatnya berdepan kelaparan.

    “Andai kita pengeluar makanan ketiga terbesar di dunia dan pengeluar terbesar sumber protein, andai kita mempunyai teknologi dan keluasan tanah pertanian, andai kita dapat mengeksport ke seluruh dunia, kita mempunyai kewajipan untuk memastikan setiap warga Brazil dapat menikmati sarapan, makan tengah hari dan makan malam setiap hari,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Adik perempuan Kim nafi Korea Utara telah membekalkan senjata kepada Rusia

    PYONGYANG, 17 MEI - Adik perempuan berpengaruh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sekali lagi menafikan hari ini bahawa negaranya telah mengeksport sebarang senjata...