Thursday, May 2, 2024
26.9 C
Brunei

    -

    M’sia perkenal CGPP, sasar lebih banyak syarikat guna tenaga hijau

    PUTRAJAYA, 31 OKT – Kerajaan memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) bagi membolehkan syarikat-syarikat korporat di negara ini menggunakan tenaga elektrik hijau melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV). 

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata melalui CGPP, program itu akan mengguna pakai mekanisme Perjanjian Pembelian Tenaga Maya atau Virtual Power Purchase Agreement (VPPA) dengan jumlah kuota sebanyak 600MW. 

    “Program ini bagi membolehkan syarikat-syarikat korporat yang beroperasi di Malaysia mencapai komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

    “Ini juga berupaya untuk mengekalkan syarikat-syarikat sedia ada serta menarik syarikat-syarikat antarabangsa yang lain untuk melabur di Malaysia,” katanya ketika mengumumkan mengenai program itu di sini hari ini. 

    Sebelum ini, syarikat-syarikat di Malaysia boleh memenuhi komitmen penggunaan elektrik hijau melalui Program Net Energy Metering (NEM) dan Self Consumption (SelCo). 

    Di samping itu, syarikat juga boleh membeli sijil Tenaga Boleh Baharu (TBB) atau membuat langganan Tarif Elektrik Hijau (GET).

    Takiyuddin berkata di bawah program CGPP, syarikat korporat yang layak boleh memeterai Perjanjian Tenaga Hijau Korporat (PTHK) dengan penjana tenaga solar bagi penjualan dan pembelian Tenaga Boleh Baharu (TBB) secara maya dengan terma dan syarat yang dipersetujui bersama. 

    PTHK ialah suatu ikatan perjanjian perlindungan harga kewangan dwihala yang memperincikan struktur penetapan harga yang dipersetujui antara pihak syarikat korporat dengan penjana tenaga solar berdasarkan nilai atau faedah kewangan tersedia melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) diperoleh daripada penjanaan tenaga solar. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...