Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Khatam sempena Hari Keputeraan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri Kawasan II, hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun.

    Majlis berlangsung di kediaman Pemangku Ketua Kampung RPN Kawasan II Kampung Mentiri, Haji Nizam bin Haji Julaihi.

    Hadir selaku tetamu khas dan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat yang juga menyertai bacaan Selawat Tafrijiyah beramai-ramai.

    Majlis diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran bermula dari Surah Ad-Duha hingga An-Nas yang dipimpin oleh Awang Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin yang juga membaca tahtim dan Doa Khatam.

    Majlis juga diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali.

    Sementara itu, enam orang jemaah haji di kawasan RPN I dan II yang baru pulang dari Tanah Suci juga diraikan pada majlis berkenaan.

    Majlis berkenaan merupakan salah satu program yang disusun bagi sama-sama memeriahkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di samping meraikan kedatangan Awal Tahun Hijrah 1445 yang sudah tentu akan mengukuhkan keharmonian dan mengeratkan kesefahaman dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan.

    Yang Berhormat Awang Lawi bersama tetamu yang lain mendengarkan tazkirah sempena sambutan Ilal Hijrah 1445 yang disampaikan oleh Awang Fariszal. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda