Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makmal proses heroin dibongkar, dadah RM1.87j dirampas

    GEORGE TOWN, 23 OKT – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket mengedar dadah dan makmal memproses heroin selepas menahan empat lelaki serta merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai RM1.87 juta, dalam siri serbuan di negeri itu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri bersama JSJN Bukit Aman melancarkan operasi terancang bermula 9 malam Jumaat lepas hingga semalam dan menyerbu enam lokasi di daerah timur laut dan barat daya.

    “Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berumur 27 tahun yang merupakan dalang utama, di tepi jalan di kawasan Tanjung Tokong di sini pada 9 malam (Jumaat) dan merampas pelbagai jenis dadah di dalam keretanya.

    “Polis kemudian menahan seorang lagi lelaki di kawasan Gelugor pada 12:20 tengah malam dan dua lagi lelaki di Lebuh Sungai Pinang pada 1 pagi, mereka berumur 28
    hingga 33 tahun.

    “Susulan penahanan tiga lelaki itu, kami merampas pelbagai jenis heroin dan syabu yang disimpan di dalam kereta di kawasan parkir tidak jauh dari tempat mereka ditahan. Modus operandi mereka ialah meninggalkan kereta yang mengandungi dadah sebelum pembeli datang mengambilnya tanpa kehadiran suspek,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin (dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses dadah bernilai RM 1.87 juta yang dirampas dalam siri serbuan di daerah timur laut dan barat daya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, kelmarin. – Bernama

    Khaw berkata berpandukan arah daripada suspek yang ditahan, polis kemudian menyerbu sebuah rumah banglo dua tingkat di kawasan Teluk Kumbar, dekat sini pada 7:15 malam Sabtu dan membongkar makmal memproses heroin di situ.

    Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai menyewa rumah itu yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan memproses dan mengedar dadah sejak awal tahun ini.

    “Polis terus menyerbu dua lagi lokasi semalam dan berdasarkan siasatan awal, sindiket itu mendapatkan bekalan dadah dari luar negara serta memprosesnya di rumah berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli untuk pasaran tempatan sehingga mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan.

    “Empat lelaki yang ditahan itu berperanan mengedar dadah, manakala terdapat beberapa lagi suspek dipercayai mempunyai kepakaran memasak heroin yang masih bebas dan polis kini giat mengesan mereka,” katanya dan menambah sindiket itu mempunyai rangkaian di luar negara dan beberapa negeri lain.

    Khaw berkata dalam siri serbuan itu, polis merampas heroin sebanyak 23,380 gram (g), heroin base (18,400g), syabu (1,507g), kafein sebanyak 94,400g dan pelbagai bahan 
    kimia yang digunakan untuk memproses heroin, semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1.22 juta penagih. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda