Thursday, May 2, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Masih ramai pandang ringan pengurusan sisa ternakan

    KUALA LUMPUR – Isu pencemaran berpunca daripada sisa ternakan merupakan antara masalah yang tidak berkesudahan di Malaysia, dan menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), hal ini disebabkan masih ramai pemain industri itu mengambil mudah aspek tersebut.

    Antara kes pencemaran teruk yang pernah dilaporkan kebelakangan ini ialah pencemaran di Sungai Punggur, Air Molek, Melaka pada 2020, di mana kira-kira tujuh ladang ternakan lembu tidak berlesen dikenal pasti sebagai penyebab air sungai bertukar hitam dan dipenuhi keladak selain bau busuk menyengat, menjejaskan ribuan penduduk di kawasan sekitar.

    Pada 2022, lapan premis penternakan khinzir di Kuala Langat disahkan sebagai sumber pelepasan air kotor dan berbau ke pantai Tanjung Sepat selepas siasatan mendapati ada air parit yang mengalir keluar dari tanah lot persendirian tersebut berakhir di laut.

    Memetik data 2017 DVS, industri penternakan menghasilkan sisa sebanyak 27,416 tan sehari dan daripada jumlah itu, 60 peratus dikeluarkan oleh ayam pedaging dan ayam penelur, 22 peratus oleh ternakan lembu, khinzir (16 peratus) dan kambing 2.3 peratus.

    Jumlah sisa yang begitu besar itu kata DVS ada kaitan dengan ketidakcekapan pengurusan sisa buangan oleh pemain industri ternakan. Justeru, tidak menghairankan jika industri itu dikenal pasti sebagai antara penyumbang terbesar pencemaran alam sekitar di negara ini.

    Sungai Kereh di Kampung Air Melintas Kecil, Tasek Gelugor kelihatan berwarna hitam akibat pencemaran sisa khinzir pada tinjauan 8 Mac 2022. Pesawah-pesawah di kampung berkenaan mendakwa hasil tanaman padi terjejas ekoran pencemaran sisa khinzir dari kandang ternakan haiwan itu di Kampung Selamat, yang disalurkan ke sungai berhampiran. – Bernama
    Seorang pesawah menunjukkan pokok padi yang rosak akibat air pencemaran sisa khinzir yang memasuki sawah melalui Sungai Kereh di Kampung Air Melintas, Tasek Gelugor pada 8 Mac 2022. – Bernama

    Lain sisa lain kaedah pengurusan

    Menurut Bahagian Regulatori DVS, antara aduan kritikal yang sering diterima mereka ialah bau busuk, lalat dan sisa air buangan dialir ke saliran awam.

    Jurucakap bahagian itu memberitahu Bernama masih ramai pemain industri gagal mempraktikkan amalan penternakan yang baik (GAHP) termasuk tidak menggunakan kaedah yang bersesuaian dengan sisa buangan.

    “Ada banyak jenis sisa seperti sisa buangan pepejal misalnya tinja (najis) dan bangkai serta sisa cecair termasuk efluen iaitu air buangan yang keluar daripada sistem pengolahan sisa.

    “Satu lagi ialah sisa enap cemar, iaitu separa pepejal atau sludge yang mengandungi kelembapan tinggi dan boleh dikeringkan menjadi baja organik. Namun ramai pengusaha kurang faham akan hal ini,” ujarnya.

    Tambah beliau, kegagalan menguruskan sisa ternakan dengan baik membawa risiko pembebasan gas berbahaya kepada alam sekitar seperti ammoniacal nitrogen.

    Bom jangka

    Mengulas lanjut, beliau berkata adalah penting sisa ternakan dan air sisa daripada rumah sembelih dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan kerana ia berpotensi menjadi ‘bom jangka’ penyakit zoonotik yang boleh meletup pada bila-bila masa.

    Antara contoh penyakit yang berpunca daripada sisa ternakan dan air sisa rumah sembelih yang tidak dirawat ialah bruselosis, salmonelosis, tuberkulosis (Mycobacterium bovis), selesema burung, selesema babi dan penyakit virus Nipah. Bagi memastikan negara terhindar daripada penularan penyakit sedemikian, Bahagian Regulatori DVS melaksanakan kawalan ketat termasuk Survelan Penyakit Ternakan Kebangsaan yang dijalankan sepanjang tahun.

    “Setakat hari ini, tidak ada laporan yang diterima daripada Kementerian Kesihatan berhubung penyakit bawaan ternakan dan air sisa rumah sembelih. Namun itu tidak bermakna kita boleh terus selesa,” kata jurucakap itu.

    Jelasnya, bahagian itu yang dibantu oleh Seksyen Regulatori DVS negeri akan menjalankan verifikasi ladang secara berkala bagi memastikan pengusaha mematuhi syarat lesen operasi.

    Hanya ladang yang lulus verifikasi akan diperbaharui lesen operasinya setiap tahun, tegas beliau, menambah semasa verifikasi, sampel air sisa dari ladang akan diambil dan dianalisis bagi memastikan ia telah dirawat dengan sempurna, menepati piawaian yang ditetapkan.

    “Bagi ladang-ladang yang berisiko mencemarkan alam sekitar pula, pemantauan berkala akan dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan peraturan dipatuhi.

    Bagaimanapun ini hanya dijalankan ke atas kawasan ladang yang berdaftar sahaja.

    “Bagi kesalahan yang berlaku di luar kawasan ladang atau rumah sembelih atau premis tidak berdaftar, ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Pengairan dan Saliran,” jelasnya.

    Rawatan tiga peringkat

    Ditanya mengenai sistem rawatan air sisa yang harus diguna pakai oleh industri, beliau berkata lazimnya ia mempunyai tiga peringkat iaitu rawatan fizikal melalui pengasingan sisa pe-pejal, rawatan biologi menerusi penguraian bahan organik di dalam kolam oleh mikrob semula jadi dan pengenapan iaitu efluen pada peringkat akhir dimendapkan di dalam tangki pengenapan atau kolam sebelum dilepaskan keluar.

    Menurutnya, di negara ini, kaedah itu diintegrasikan dalam sistem kolam bersiri atau kolam penstabilan sisa (KPS) yang bukan sahaja mampan tetapi juga cekap kos.

    “Menerusi penggunaan KPS ini, proses penyingkiran kuman (bakteria dan virus) patogen akan berlaku melalui proses nyahaktif di dalam kolam.

    “Selain itu, kajian mengenai KPS di India mendapati masa rawatan dari dua hingga 17 hari dapat menyingkirkan virus pada kadar antara 88 dan 98 peratus, jadi kaedah KPS ini antara kaedah yang amat berkesan.

    “Di Malaysia pula, tempoh rawatan air sisa yang disarankan ialah antara 50 dan 70 hari, dan untuk premis yang berisiko tinggi, rawatan menggunakan bahan disinfektan secara terus akan disarankan,” sambung beliau.

    Pada masa sama, jurucakap itu berkata DVS menggalakkan amalan sifar pelepasan iaitu tidak ada pelepasan terus efluen ternakan ke saliran air awam.

    Menerusi konsep itu, air sisa dikitar semula bagi kegunaan siraman ke atas tanaman seperti rumput dan sebagainya.

    “Walau apa pun kaedah yang digunakan, paling penting ia perlulah mematuhi konsep 3R iaitu Reduce dengan cara mengurangkan penghasilan sisa ternakan, Reuse (menggunakan semula bahan buangan yang telah dirawat untuk operasi ladang), serta Recycle (air sisa ternakan boleh diproses untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui melalui sistem biogas dan sisa pepejal boleh dikompos dan dijadikan baja organik untuk tanaman),” jelas beliau.

    Katanya DVS sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana agensi dalam menyelesaikan isu pencemaran yang disebabkan oleh industri ternakan.

    Hukuman berat menanti

    Mengenai tindakan undang-undang bagi kesalahan membuang sisa yang tidak mematuhi piawaian, jurucakap itu berkata pemilik boleh diambil tindakan menurut enakmen penternakan di negeri yang berkenaan.

    “Sebagai contoh Enakmen Perladangan Unggas Negeri Pulau Pinang mengenakan penalti denda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    “Enakmen Perladangan Negeri Perak pula memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kompaun pula, seseorang itu boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

    Bagi kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993 pula, sesebuah rumah sembelih berlesen boleh dikenakan penalti denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya atas kesalahan yang melanggar syarat lesen.

    Ini kerana, Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993 diwujudkan bagi menggalakkan penternak dan pemain industri mewujudkan rumah sembelih yang lebih teratur dan bersih, seterusnya menjamin keselamatan makanan yang dihasilkan.

    “Antara syarat lesen yang berkaitan dengan kawalan pencemaran ialah mengadakan loji rawatan kumbahan rumah sembelih yang sempurna dan lengkap untuk rawatan segala air kotor seperti najis, kencing, darah, lemak, sisa bangkai binatang, kelodak dan sebagainya.

    “Air kumbahan yang telah dirawat pula hendaklah mematuhi piawaian kualiti air yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (sebelum dilepaskan ke saliran awam). Selain kompaun atau denda, pihak DVS juga akan menarik balik lesen beroperasi premis yang terbukti menyebabkan pencemaran sehingga isu pencemaran tersebut terbukti terkawal,” jelasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...