Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Microsoft, Amazon labur dalam teknologi Perancis

    PARIS, 13 MEI – Microsoft pada Ahad mengumumkan pelaburan empat bilion euro untuk membangunkan pusat data di Perancis, menyertai rakan gergasi Amerika Syarikat (AS) Amazon yang komited terhadap infrastruktur teknologi negara itu.

    Pengumuman itu dibuat pada malam ‘Choose France Summit’ ketujuh, yang bertujuan untuk menarik pelabur asing ke negara itu. Macron akan menganjurkannya di Chateau of Versailles berhampiran Paris.

    Presiden Microsoft, Brad Smith memberitahu AFP keputusan untuk mengukuhkan kecerdasan buatan dan infrastruktur pengkomputeran awan adalah pelaburan terbesar gergasi teknologi itu di Perancis sejak ketibaannya 41 tahun lalu.

    Perancis yang telah ‘lama komited terhadap pasaran tenaga bebas karbon’ dan statusnya sebagai ‘pemimpin kritikal’ di Eropah menjelaskan keputusan itu, kata Smith.

    Sebuah pusat data baharu akan didirikan di timur Perancis, manakala tapak sedia ada di wilayah Paris dan bandar selatan Marseille akan diperluaskan.

    Sementara itu, syarikat gergasi e-dagang, Amazon akan melabur lebih daripada 1.2 bilion euro di Perancis, mewujudkan lebih daripada 3,000 pekerjaan, kata pejabat Presiden Perancis, Emmanuel Macron awal semalam.

    Wang itu akan membantu membangunkan infrastruktur awan Amazon Web Services (AWS), terutamanya kecerdasan buatan generatif dan infrastruktur logistik perkhidmatan penghantaran bungkusannya, tambah kenyataan.

    Syarikat AS itu telah pun mengumumkan kewujudan 2,000 pekerjaan baharu di Perancis pada 2024, yang akan menjadikan jumlah tenaga kerja kakitangannya di negara itu kepada 24,000 menjelang akhir tahun, terutamanya di pusat logistiknya. – AFP

    Emmanuel Macron semasa bercakap di ibu pejabat Microsoft Perancis di Issy-les-Moulineaux, Paris pada 13 Mei 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda