Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Microsoft umum pelaburan AS$2.9B di Jepun

    TOKYO, 10 APRIL – Microsoft kelmarin mengumumkan pelaburan sebanyak AS$2.9 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang di Jepun untuk meningkatkan usaha negara itu dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan mengukuhkan pertahanan sibernya dalam menghadapi ancaman dari China dan Rusia.

    Pengumuman itu bertepatan dengan lawatan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ke Washington, menegaskan komitmen Tokyo untuk menjadi kuasa AI utama.

    Jepun juga sedang mengembangkan industri semikonduktornya dengan bantuan pelaburan asing yang besar. Syarikat cip Taiwan, TSMC telah membuka kilang cip baharu bernilai AS$8.6 bilion di selatan Jepun pada bulan Februari, dan sedang merancang fasiliti kedua.

    Microsoft telah menjadi pemain utama dalam kemajuan AI melalui perkongsiannya dengan pembuat ChatGPT, OpenAI – melonjakkannya melepasi Apple sebagai syarikat terbesar di dunia dari segi modal pasaran.

    “Ini merupakan pelaburan terbesar Microsoft dalam sejarah 46 tahunnya di Jepun,” kata Brad Smith, Naib Pengerusi dan Presiden Microsoft, yang bertemu Kishida kelmarin.

    “Pelaburan ini adalah komponen penting bagi Jepun untuk membina ekonomi AI yang teguh.”

    Pelaburan itu termasuk menyediakan ‘sumber pengkomputeran yang lebih maju’, menurut Smith, termasuk unit pemprosesan grafik berkuasa yang penting untuk menjalankan aplikasi AI.

    Microsoft juga berjanji untuk melabur dalam melatih tiga juta pekerja Jepun dalam kemahiran AI dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan mengumumkan pembukaan makmal Microsoft Research Asia pertamanya di Tokyo yang akan bekerja dalam bidang AI dan robotik. – AFP

    Kishida berjabat tangan dengan Smith semasa mesyuarat Meja Bulat Eksekutif AS-Jepun mengenai Teknologi Kritikal dan Baharu Muncul di Dewan Perniagaan AS pada 9 April di Washington. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda