Tuesday, December 3, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Monaco kembali ke puncak liga

    PARIS, 23 OKT – Aleksandr Golovin menjaringkan dua gol ketika Monaco bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Metz 2-1 kelmarin dan kembali ke puncak Ligue 1, sementara Lyon yang belum pernah menang tersungkur ke tangga tercorot carta.

    Monaco telah memulakan hujung minggu di tangga teratas, tetapi kemenangan Paris Saint-Germain dan Nice telah menyaksikan mereka merosot ke tempat ketiga.

    Pemain remaja dari Senegal, Lamine Camara membantu Metz yang sedang bergelut mendahului dengan gol mengejut pada minit keempat.

    Namun Monaco kendalian Adi Huetter tidak gentar dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Mohamed Camara, sebelum Golovin dari Rusia meledak gol pada minit ke-42.

    Golovin membuat sepakan percuma yang cemerlang pada awal separuh masa kedua untuk memberikan tuan rumah pendahuluan dan mereka berjaya mengekalkan kedudukan tersebut dengan mudah.

    Aksi Golovin semasa perlawanan antara AS Monaco dan FC Metz di Stade Louis II di Monaco baru-baru ini. – AP

    Monaco mendahului satu mata di puncak di depan Nice yang berada di tempat kedua, dengan penyandang juara PSG satu mata di belakang di tempat ketiga.

    “Kami perlu bekerja keras, sangat keras dalam beberapa bidang tertentu,” kata Huetter, yang menggantikan Philippe Clement sebagai jurulatih Monaco sebelum permulaan musim.

    “Semasa perlawanan, saya tidak begitu tenang. Tetapi saya sangat gembira kerana kita menjadi pendahulu, dengan tiga kemenangan berturut-turut.”

    Permulaan yang buruk bagi Lyon berterusan apabila juara Liga Perancis tujuh kali itu dikalahkan 2-1 di laman sendiri oleh kelab tercorot sebelumnya, Clermont.

    Pasukan kendalian Fabio Grosso masih belum meraih kemenangan dalam sembilan perlawanan liga musim ini dan hanya mempunyai tiga mata di dalam carta selepas beberapa bulan yang kucar-kacir. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda