Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Netanyahu umum rancangan Gaza pasca perang

    BAITULMAQDIS, 23 FEB – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengemukakan cadangan kerjasama selepas perang Gaza dengan pegawai tempatan yang tidak bersekutu dengan Hamas atau kumpulan pengganas lain untuk mentadbir wilayah itu, lapor media Israel, hari ini

    Cadangan itu, yang dikemukakan Netanyahu kepada kabinet keselamatannya lewat kelmarin, yang turut menyatakan bahawa tentera Israel akan terus memerangi Hamas sehingga mereka mencapai matlamat utamanya.

    Ini termasuk menghapuskan Hamas dan jihad Islam, dan memastikan pembebasan semua tebusan yang masih ditawan di Gaza.

    Selepas perang berakhir, hal ehwal sivil Gaza akan dikendalikan oleh ‘pegawai tempatan dengan pengalaman pentadbiran’ dan yang ‘tidak dikaitkan dengan negara atau entiti yang menyokong keganasan’, lapor akhbar Times of Israel memetik elemen utama rancangan Netanyahu.

    Walaupun selepas perang, tentera Israel akan mempunyai ‘kebebasan tanpa batas’ untuk beroperasi di seluruh Gaza bagi mencegah sebarang kebangkitan aktiviti keganasan, menurut rancangan itu.

    Kanak-kanak Palestin berdiri di atas runtuhan bangunan yang musnah akibat pengeboman tentera Israel di Rafah, 22 Februari 2024. Benjamin Netanyahu telah mencadangkan rancangan untuk Gaza pasca perang yang membayangkan pegawai Palestin tempatan tanpa kaitan dengan Hamas atau penyokong asingnya yang memerintah wilayah itu.- AFP

    “Rancangan ini menyatakan bahawa Israel akan terus bergerak kehadapan dengan projeknya yang sedang dilaksanakan untuk mewujudkan zon penampan keselamatan di kawasan Palestin di sempadan semenanjung itu”, menurut laporan itu, sambil menambah zon itu akan kekal ‘selagi ada keperluan keselamatan untuknya’.

    Ia juga membayangkan kawalan keselamatan Israel ‘ke atas seluruh kawasan barat Jordan’ dari darat, laut dan udara ‘untuk mencegah pengukuhan unsur-unsur pengganas di (Tebing Barat yang diduduki) dan Semenanjung Gaza dan untuk menggagalkan ancaman daripada mereka terhadap Israel,’ kata laporan itu.

    Rancangan itu meramalkan ‘penyahtenteraan Gaza sepenuhnya…di luar apa yang diperlukan untuk mengekalkan ketenteraman awam’.

    Ia bertujuan untuk menggalakkan ‘deradikalisasi di semua institusi agama, pendidikan dan kebajikan di Gaza’.

    Elemen utama rancangan itu adalah membubar Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), kata laporan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda