WELLINGTON, 11 DIS – New Zealand kelmarin mengumumkan keputusan untuk menutup industri perlumbaan anjing greyhound secara berperingkat dalam tempoh 20 bulan akan datang, dengan mengambil kira kebajikan haiwan dan jumlah kecederaan serta kematian anjing yang dianggap ‘terlalu tinggi.’
Menteri Perlumbaan, Winston Peters, dalam satu kenyataan berkata langkah itu bertujuan untuk melindungi kebajikan anjing perlumbaan dan memberi peluang kepada para pelatih untuk mencari rumah baharu bagi anjing-anjing tersebut.
“Keputusan ini tidak dibuat dengan mudah, tetapi ia perlu demi memastikan kebajikan anjing perlumbaan terjaga,” katanya.
New Zealand merupakan antara beberapa negara yang masih membenarkan perlumbaan greyhound secara komersial. Greyhound Racing New Zealand memaklumkan bahawa langkah itu akan menjejaskan ratusan pelatih, pembiak baka dan pekerja industri.
Menurut organisasi bukan kerajaan, Safe for Animals, sebanyak 13 kematian anjing greyhound dilaporkan sepanjang musim perlumbaan di New Zealand bagi tahun 2023-2024.
Sementara Coalition for the Protection of Greyhounds pula mendokumentasikan ratusan kematian dan puluhan ribu kecederaan di trek perlumbaan di Australia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebelum ini, negeri New South Wales di Australia pernah mencadangkan larangan perlumbaan greyhound pada 2017, namun membatalkan cadangan tersebut selepas menerima bantahan besar-besaran daripada pihak industri.
Kini, hanya segelintir trek masih menjalankan perlumbaan greyhound di Australia, Amerika Syarikat, Ireland dan United Kingdom. – AFP